Misteri Kematian Kucing

Tiada Kesan Diracun, Misteri Kematian 20 Ekor Kucing Akhirnya Terjawab

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Misteri kematian 20 ekor kucing di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang dekat Besut pada 6 Mac yang lalu bukanlah disebabkan oleh perbuatan khianat atau diracun.

Sebaliknya, menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Dr Anun Man, punca kematian haiwan comel tersebut adalah disebabkan oleh jangkitan Parvovirus.

Hasil ujian makmal yang dijalankan oleh JPV dan Jabatan Kimia juga mendapati tiada sebarang kesan racun ditemukan pada sampel bangkai haiwan itu.

“Hasil ujian diagnostik yang dilakukan tidak mengesan kewujudan racun seperti yang disyaki, namun kucing-kucing itu disahkan positif jangkitan Parvovirus yang boleh merebak dengan begitu cepat, melibatkan jumlah haiwan yang besar.

“Punca jangkitan ini adalah kerana kucing-kucing itu tidak divaksin, dan selain kucing, virus ini juga boleh menjangkiti anjing,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Aidilfitri JPV Terengganu.

Dr Anun juga tidak menolak tentang kemungkinan kucing-kucing tersebut telah dibuang oleh tuannya setelah mendapati haiwan itu berpenyakit serta tidak dapat diselamatkan lagi.

“Namun tiada sebarang bukti yang boleh mengaitkan perbuatan ini dengan mana-mana pihak. Mungkin pemiliknya risau penyakit itu akan menular ke haiwan peliharaan yang lain, jadi langkah itu (membuang di pantai) yang diambil,” jelasnya.

1 Misteri Kematian Kucing

Sebelum ini, tular klip video di media sosial mengenai 20 ekor bangkai kucing yang ditemui di Pantai Bukit Keluang.

Video yang dimuat naik oleh seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Ramai yang menyangka haiwan tersebut telah diracun oleh anak-anak muda psiko ekoran beberapa kes penganiayaan terhadap kucing yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Kakitangan JPV kemudiannya bergegas turun ke lokasi untuk membuat siasatan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

BACA: Aksi Lelaki Hempas Kucing Hingga Alami Pendarahan Undang Kemarahan Orang Ramai

Sumber & kredit foto: Astro AWANI