
“…Tiada Kereta Pun Tak Apa” – Kisah Pengalaman Guna Pengangkutan Awam Di Singapura
Walaupun tidak wajar untuk membandingkan Malaysia dengan Singapura, sebuah negara maju yang mempunyai populasi penduduknya yang jauh lebih kecil, namun tidak dinafikan sebenarnya banyak yang boleh kita pelajari dari negara jiran kita ini.
Yang paling sering menjadi topik perbualan ialah bagaimana efisyennya perkhidmatan pengangkutan awam mereka yang disebut-sebut sebagai antara yang terbaik di dunia itu.
Baru-baru ini, ahli fizik terkemuka, Zamir Mohyedin berpeluang untuk merasai sendiri betapa cekapnya perkhidmatan pengangkutan awam di Singapura dan sudi berkongsi pengalamannya itu dengan memberikan sedikit gambaran kepada rakyat Malaysia melalui hantaran di Facebooknya berikut:
Masa bulan Jun itu hari, saya pergi ke Singapura untuk hadiri persidangan saintifik antarabangsa dalam kejuruteraan biomedikal dan fizik perubatan.
Awal-awal memang saya dah rancang nak bawa kereta ke sana. Saya nak bawa kereta sebab serik dengan pengalaman naik pengangkutan awam di Malaysia. Tak cekap dan lambat. Buang masa dan meletihkan.
Selepas sembang-sembang dengan adik sebab dia ada pengalaman bekerja di Singapura, memang leceh nak bawa masuk kenderaan. Itu satu perkaralah. Belum kira jem sampai berjam-jam di sempadan. Nak kira tempat letak kereta yang terhad. Nak fikir pasal tol di sana pula macam mana. Kalau tersilap kena denda dengan nilai Dolar Singapura. Dahlah peraturan di sana ketat, tak boleh buat salah sikit. Fuh, masak.
Hujung-hujung saya berserah jelah naik pengangkutan awam di sana. Pengalaman saya selama seminggu di sana membuatkan saya rasa, kalau duduk di Singapura, tiada kereta pun tak apa. Pengangkutan awam di sana sangat cekap.
Senang nak akses dan laluan pejalan kaki pun mesra pejalan kaki. Ada bumbung dan pokok, tak membahayakan. Laluannya menghubungkan setiap stesyen bas.
Di sana, saya naik MRT. Harga tiket murah, kekerapan pula tinggi, muatan besar. Saya pernah terlepas MRT sampai tiga kali, masa terbuang cuma 3 minit saja sebab kekerapannya hanya 1 minit. Muatan pun besar, kereta apinya pun laju, jaringannya pun luas.
Di Malaysia, kalau terlepas KTM sampai 3 kali, hampir 2 jam terbuang. Kalau terlepas LRT sampai 3 kali, hampir 20 minit terbuang. Itu kalau kira terlepas, belum kira kalau tak dapat naik sebab muatan penuh. Kalau tak dapat naik 5-6 kali, hampir sejam tak dapat naik LRT saja. Belum kira KTM lagi.
Saya buat bacaan sikit, rupanya pengangkutan awam di Singapura memang antara yang terbaik di dunia berdasarkan kriteria ketersediaan (availability), kemampuan (affordability), kecekapan (efficiency), mudah (convenience) dan mapan (sustainability). Orang Singapura pun puji.
BACA: “Boleh Jemput CEO KTMB Baca Posting Ni” – Netizen Bandingkan Tren Jepun vs Tren Malaysia
Sumber: Zamir Mohyedin
Trending now



