Tiada Istilah ‘Kerja Dari Rumah’, LRT Di Jakarta Masih Sesak Dengan Warga Kota

Tiada istilah kerja dari rumah buat warga kota Indonesia.

Walaupun Indonesia telah mencatatkan kes kematian tertinggi di Asia Tenggara, kerajaan Indonesia masih belum mengeluarkan perintah work from home atau pun ‘kerja dari rumah’ seperti yang diamalkan Malaysia.

Dalam satu gambar yang tular di laman media sosial, pengangkutan awam seperti di Jakarta, Indonesia masih lagi dipenuhi dengan warga kota untuk ke tempat kerja masing-masing.

Mendapat respon negatif daripada warga net, ramai daripada mereka mengecam tindakan tersebut dan mengaitkannya dengan ketidakmustahilan jangkaan lebih 600,000 hingga 700,000 rakyat Indonesia sudah dijangkiti COVID-19 adalah benar.

BACA: Indonesia Dijangka Catat Tempoh ‘Hidap’ COVID-19 Lebih Lama Dari Negara Lain

Walauun wilayah Jakarta mencatatkan korban paling tinggi di Indonesia dengan angka 29 kes, warga kota seakan ‘lut’ dengan khabar berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, kekerapan operasi LRT, MRT dan Transjakarta telah diubah daripada 10 minit kepada kekerapan 30 minit. Malah perjalanan juga dikurangkan daripada 74 kepada 56 dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

Setakat ini, hanya 42 syarikat di Jakarta tampil membenarkan pekerja bekerja dari rumah dalam usaha mencegah penularan jangkitan COVID-19 membuatkan Kementerian Buruh Indonesia mendesak agar kesemua majikan mematuhi perintah kerajaan untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah selama tempoh dua minggu ini.

Tiada Istilah ‘Kerja Dari Rumah’, LRT Di Jakarta Masih Sesak Dengan Warga Kota
Sumber: Asia Times

21 Mac lalu, kerajaan Indonesia telah mengisytiharkan wilayah Jakarta dalam tempoh darurat selama dua minggu selepas angka kematian di Indonesia meningkat secara mendadak dalam tempoh masa 24 jam.

Berbeza dengan Malaysia, kerajaan Malaysia bertindak menguatkuasakan enam perintah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan termasuklah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara, sekatan menyeluruh semua perjalanan, sekatan kemasukan semua pelancong, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta.

Dalam perintah ke-6, hanya beberapa premis swasta dan kerajaan dibenarkan buka iaitu melibatkan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.