Tiada Akronim Untuk Perkataan BOMBA, Ini Makna Sebenar Yang Ramai Salah Faham

Asal-Usul Maksud BOMBA akronim

Tidak tahu siapakah yang mulakan, ramai beranggapan bahawa maksud perkataan BOMBA berasal daripada akronim Badan Organisasi Mencegah Bencana Alam atau Badan Operasi Menyelamat Bahaya Api.

Jadi, pelbagai persoalan timbul tentang bagaimana bermulanya nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang diguna pakai sehingga hari ini.

Perkataan ‘bomba’ hari ini digunakan mewakili mereka yang mempertaruhkan nyawa dalam menyelamatkan mangsa kebakaran.

Asal-Usul Maksud BOMBA akronim

Asal-usul perkataan BOMBA

Ia dikatakan bermula daripada perkataan ‘bomeiros’, bahasa Portugal yang membawa maksud pasukan pemadam.

Manakala menurut Kamus Dewan, perkataan bomba mempunyai dua maksud iaitu sejenis alat yang digunakan untuk mengepam air dan pasukan memadam kebakaran.

Bagaimanapun secara rasminya, perkataan ‘bomba’ datang daripada usaha menterjemahkan nama ‘fire brigade’ kepada nama dalam bahasa Melayu.

Berdasarkan kepada penemuan dokumen iaitu sekeping surat permohonan kepada pemerintah negeri Kedah bertarikh 12 September 1922 bersamaan 21 Muharram 1341, membuktikan bahawa perkataan bomba telah lama digunakan.

Melalui temubual Sejarah Lisan Arkib Negara Malaysia dengan bekas Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia iaitu Tuan Hj. Mohamad Yusop bin Hamzah pada 14 Disember 2011 menyatakan bahawa jabatan ini menggunakan nama fire brigade sebelum ia ditukar kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia.

Asal-Usul Maksud BOMBA akronim
Sumber: Balai Bomba dan Penyelamat Damansara

Pada awalnya cadang perkataan ‘gumba’

Bermula tahun 1961, dengan bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bulan Bahasa Kebangsaan, panel-panel penterjemah dipanggil untuk menterjemahkan perkataan fire brigade. Sekiranya terjemahan secara terus dilakukan kepada Bahasa Melayu dilakukan, nama yang akan diguna pakai adalah ‘pasukan api’ yang dirasakan tidak berapa sesuai.

Selain itu, panel juga mencadangkan perkataan ‘gumba’ berdasarkan sejenis alat yang digunakan pasukan fire brigade namun alat tersebut hanya mampu berfungsi sebagai pengepam air.

Kemudian mereka menemukan perkataan ‘bombat’ yang membawa maksud menumpukan yang dikatakan lebih bersesuaian, cuma kurang enak disebut atau didengari. Selepas itu, panel dan beberapa individu terlibat menggugurkan huruf ‘T’ menjadikannya ‘bomba’.

Pada 8 Januari 1997, nama jabatan sekali lagi mengalami perubahan apabila Jemaah Menteri telah bersetuju mengubah nama Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Asal-Usul Maksud BOMBA akronim

Walau apa pun sejarah yang terkandung di sebalik perkataan BOMBA yang sehingga kini masih menjadi misteri, kita perlu ucapkan jutaan terima kasih buat mereka yang sedia berkhidmat apabila diperlukan.

Sumber: Iluminasi