The admiral roaring currents

The Admiral: Roaring Currents; Cara Bangsa Korea Angkat Tokoh Agung Mereka

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.
Ada yang dah menonton filem The Admiral: Roaring Currents di Netflix? Jika dah, pasti anda rasa teruja selepas menontonnya. Kepada yang belum menontonnya, jom baca perkongsian seorang pengguna Facebook, Azzah Abdul Rahman yang berjaya mengulas filem ini dengan baik sekali.
Ulasan
Sedang meletup-letup di Netflix, filem The Admiral: Roaring Currents (2014). Hari ini sudah di tangga ke-9 carta Top 10 Malaysia.
Filem ini adalah filem yang pertama melepasi jualan 4 juta tiket di Korea semasa tayangannya, dan itu hanyalah jumlah jualan selama 5 hari pertama. Pada 3 Ogos 2014 sahaja, sebanyak 1,253,653 tiket berjaya dijual. Suka diingatkan, ini adalah filem sejarah. Filem perang. Bukan filem rom-com geli-geli.
The admiral roaring currents
Saya tidak mahu tulis tentang profil Laksamana Yi Sun Shin. Sudah banyak orang menulis tentang sejarah beliau, dan ramai juga anak muda terbuka mata apabila baru tahu, karakter dalam permainan Mobile Legends itu adalah berdasarkan tokoh nyata dari Korea.
Saya kongsikan sedikit tentang cara Korea mengangkat tokoh besar ini untuk dua tujuan. Pertama, sebagai peringatan kepada bangsa Korea tentang kekuatan bangsa mereka sejak berabad lamanya. Kedua, tokoh-tokoh sejarah mereka diperkenalkan secara cukup gah dan mulia kepada pelancong asing.
Foto pertama ini ialah pemandangan malam musim dingin di Dataran Gwanghwamun, Seoul. Monumen di hadapan itu ialah Laksamana Yi Sun Shin, dan objek kecil di bawahnya ialah replika Geobukseon (Turtle Ship), kapal perang legenda yang direka oleh pasukan beliau.
May be an image of outdoors and monument
Monumen di belakang ialah Raja Sejong Yang Agung. Raja keempat Dinasti Joseon, yang amat berjasa kepada bangsa mereka dengan pelbagai inovasi. Yang paling terkenal dan berharga, tentu sekali ciptaan sistem tulisan Hunminjeongeum (Hangeul) yang digunakan oleh orang Korea pada hari ini. Satu-satunya sistem tulisan di dunia yang diketahui penciptanya.
Di belakang monumen Raja Sejong, ialah istana terbesar dan utama ketika era Joseon iaitu Istana Gyeongbokgung. Tiga lagi istana yang ada di sekitar kawasan bersejarah ini ialah Deoksugung, Changdeokgung, dan Changgyeonggung.
Di bawah dua monumen gergasi ini, ada dua galeri yang bersambung iaitu The Story of King Sejong dan The Story of Admiral Yi Sun Shin.
Dalam galeri Yi Sun Shin, selain dipaparkan biografi dan sejarah peperangan beliau, ada dipamerkan replika Geobukseon (foto kedua) dengan saiz yang boleh dimasuki dengan selesa oleh sekitar 5 ke 6 orang dewasa dalam masa yang sama.
Juga ada permainan video interaktif, menembak guna senapang dan meletupkan meriam seperti sedang berada di dalam Geobukseon, dan cabaran mengemudi Geobukseon.
Apa hebatnya Geobukseon?
May be an image of indoor
Kapal ini direka oleh Na Dae Yong, pegawai tentera laut. Beliau mengkaji kapal-kapal perang sebelumnya, mempelajari aritmetik, lalu menggabungkan pelbagai ciri kapal serta kiraan matematik sehingga terhasil rekaan hebat Geobukseon.
Geobukseon adalah kapal perang yang berperisai besi pertama di dunia. Kapal ini direka supaya mampu menyerang dari jarak dekat, kemudian menghentam dan menenggelamkan kapal musuh. Dalam masa yang sama, kapal ini juga mampu melindungi anak kapal dari dalam dengan perisai yang dibina.
Kehebatan Laksamana Yi diakui oleh musuh, Jepun, juga Barat.
Dalam buku Admiral Yi Sun Shin (foto ketiga), disebut:
“Sukar untuk orang Inggeris mengatakan ada laksamana lain yang setaraf dengan Laksamana Horatio Nelson (Tentera Laut British, 1758-1805). Tetapi diakui ada seorang panglima tentera laut yang agung dari Asia, yang tidak kenal erti tewas dan membenamkan ratusan kapal Jepun ke dasar laut.” – George Alexander Ballard. The Influence of Sea on the Political History of Japan.
May be an image of book
“Laksamana Togo Heihachiro (Tentera Laut Empayar Jepun, 1848-1934) selepas menewaskan Rusia dalam Perang Tsushima (1905), dipuji-puji sebagai setaraf Laksamana Nelson yang menewaskan Napoleon, dan layak digelar dewa perang. Namun, Laksamana Togo membalas, ‘Kalaulah ada laksamana yang layak digelar dewa perang, dia adalah Yi Sun Shin. Jika berada di sisinya, taraf saya tidak lebih daripada pegawai berpangkat rendah sahaja.'” – Andohi, Kotaro.
History and Theory of Relations of Japan, Korea, and China.
(Ah, kata tak nak ceritakan profil beliau. Sudahnya tercerita juga. Ah, tak kisahlah.)
Ketokohan dan sejarah Laksamana Yi Sun Shin dizahirkan dalam bentuk monumen, galeri, buku, filem, drama, rancangan variety, lagu KPop, permainan video, dan pelbagai lagi. Kegeniusan beliau membaca cuaca dan keadaan laut untuk melawan musuh yang beratus kali ganda jumlahnya, diperlihatkan ke seluruh dunia. Dikenali oleh seluruh dunia.
Demikian Korea mengangkat tokoh agung bangsa mereka.
Ini baru tentang Yi Sun Shin. Jika pergi ke Korea, ke luar Seoul, anda akan jumpa lebih banyak tokoh lain yang diangkat, daripada pelbagai bidang. Dan setelah pulang, pergilah ke Perkampungan Hang Tuah di Duyung, Melaka. Baca sejarah laksamana kita pula. Ya, itulah yang saya lakukan.
Patutkah menonton The Admiral: Roaring Currents?
Ya, patut. Saya pun akan ulang tonton kerana di Netflix ada sarikata Bahasa Melayu.
Dan saya ingin ucapkan, selamat merinding!
“Duduk sendirian di bawah cahaya lilin, aku memikirkan hal keadaan bangsa kita sekarang, lalu air mataku mengalir ke pipi.”
– Diari Perang Yi Sun Shin, 1 Januari 1595.
Banyak siri Korea di Netflix yang tengah hit sekarang ni. Antaranya adalah seperti The Penthouse, No Mercy, dan Move To Heaven.