
Thailand Kini ‘Halalkan’ Penduduk Tanam Ganja Di Rumah Tetapi…
Kita sedia maklum penerimaan ganja di negara ini masih menjadi isu namun di negara jiran iaitu Thailand sudah pun membenarkan penduduk mereka menanam pokok ganja di rumah.
Thailand menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya.
Kerajaan Thailand mengeluarkan bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan ganja (kecuali bunga dan perbungaan) daripada senarai narkotik terkawal Kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979, supaya boleh digunakan untuk tujuan kesihatan dan perubatan.
Ini bermakna pengeluaran, import, eksport, pengedaran, penggunaan dan pemilikan ganja adalah dibenarkan.
Bagaimanapun, penggunaan marijuana yang juga dikenali sebagai ganja dan kanabis, secara rekreasi masih diharamkan.
Penggunaan ekstrak ganja tidak boleh melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) dan jika melebihi ia dianggap melanggar undang-undang.
Bagaimanapun Bangkok Post melaporkan, ‘menghalalkan’ ganja di negara itu akan menimbulkan kebimbangan ia boleh menyebabkan peningkatan ketagihan dadah.
Dengan undang-undang baharu yang dikeluarkan, pihak polis tidak akan menahan sesiapa yang menghisap ganja di rumah.
Namun jika mereka menghisapnya di kawasan awam dan menyebabkan gangguan awam, mereka boleh ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Susulan langkah Thailand itu hampir 100,000 orang bergegas mendaftar di aplikasi kerajaan PlookGanja untuk memohon menanam tumbuhan berkenaan dan portal alternatif telah disediakan berikutan sambutan yang menggalakkan.
Ketua Setiausaha Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand Dr Paisarn Dunkum berkata aplikasi itu dimuat turun lebih 50,000 kali.
Selain itu, 1,000 pokok ganja akan diedarkan secara percuma kepada penduduk di Buriram.
Pemberian percuma itu sebagai permulaan kepada kempen pengagihan satu juta tumbuhan ganja di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah untuk kegunaan memasak dan perubatan.
Makanan, minuman dan snek yang mengandungi ekstrak ganja kini menjadi makanan popular terbaharu di Thailand apabila ganja tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.
Sumber: Sinar Harian, Coconuts.co