
Tetap Teruskan Skim Bayaran Baharu, Pengguna Mula ‘Uninstalled’ Aplikasi Foodpanda
Walaupun pelaksanaan skim pembayaran baharu yang diperkenalkan akhir bulan lalu mendapat bantahan daripada penghantar makanan Foodpanda dan isu berkenaan dibawa ke Kabinet, Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia tetap akan meneruskan skim berkenaan.
Kenyataan Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das telah menimbulkan pelbagai reaksi pengguna yang dianggap angkuh, begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang pada awalnya membawa isu berkenaan ke Kabinet.
Susulan itu, bukan sahaja penghantar makanan yang tidak berpuas hati malah pengguna juga turut bertindak memprotes kenyataan pihak Foodpanda sehingga melancarkan boikot terhadap syarikat tersebut. Ruangan media sosial bermula malam semalam sehingga pagi ini dipenuhi dengan paparan netizen memadam aplikasi berkenaan.

Bukan itu sahaja, ruangan ratings & reviews aplikasi berkenaan dibanjiri dengan ulasan pengguna yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat itu.
— نظيرال مبين (@nazirulmubinn) October 8, 2019
Bagaimanapun, Sayantan berkata rider yang tidak berpuas hati perlu mencuba skim baharu sebelum menilai dan percaya bantahan yang dibangkitkan oleh sebilangan kecil rider dan pihak berkepentingan adalah berpunca dari salah maklumat yang diterima mengenai skim tersebut.
Di bawah skim baharu dilaksanakan di luar Lembah Klang yang merangkumi 30 peratus daripada 13,000 rider di seluruh negara, kadar sejam telah dimansuhkan tetapi bayaran bagi setiap pesanan telah dinaikkan antara RM4.50 kepada RM7 sejam, berbanding RM3 kepada RM5 sebelum ini.
Rider juga akan menerima tambahan RM1 setiap pesanan untuk semua pesanan antara 11 malam dan 9 pagi setiap hari, dan insentif RM100 apabila menamatkan 60 jam kerja seminggu.
Di Kuala Lumpur, rider masih mendapat gaji asas RM4 setiap jam dan antara RM3 dan RM5 setiap pesanan. Bayaran bagi setiap pesanan berbeza mengikut batch (tahap prestasi) setiap rider.
Sumber: Utusan