
Tertipu Dengan Kehidupan Islamik IS Punca 70% Pengikut Gerakan Ekstrem Dari Malaysia Mohon Untuk Pulang
Tertipu dengan kehidupan Islamik IS punca 70% pengikut gerakan ekstrem dari Malaysia mohon untuk pulang.
Menurut Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan di Unversiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Mizan Mohammad Aslam, rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan gerakan ekstrem negara Islam (IS) membuat keputusan mahu kembali ke tanah air kerana menyedari tertipu dengan kehidupan Islamik perjuangan mereka.
BACA: Kubu Terakhir Kumpulan Militan Daesh Musnah, Akhirnya Baghouz Bebas!
Kehidupan Islamik yang digambarkan kumpulan ini di media sosial menyebabkan pengikut ditipu mahu menyertai sekali perjuangan mereka.
Sebelum ini, pengikut akan menerima gaji daripada kerajaan IS. Dengan kekalahan kubu terakhir IS pada Mac 2019, tekanan makin kuat dirasai pengikut kerana ketiadaan sumber pendapatan bagi menampung kehidupan dan hidup menderita dalam keadaan serba serbi kekurangan; anak-anak tidak dapat ditempatkan di sekolah dan sebagainya.
Mizan yang juga ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu, pengikut juga mengalami tekanan emosi yang kuat sehingga ada yang mahu segera mati kerana menganggap diri tidak berguna selepas terjebak dengan gerakan ekstrem ini.

Menurut Mizan, aktiviti mengekang rakyat daripada terbait dengan sebarang bentuk kumpulan dan aktiviti keganasan perlu diteruskan kerana berperang dengan ideologi terorisme adalah satu perang yang lama dan berpanjangan.
Kata Mizan, rakyat perlu menerima kepulangan mereka yang pernah terlibat dalam gerakan ini selepas kesemuanya menjalani proses tindakan undang-undnag yang terbukti menyesali perbuatan dan berikrar tidak akan mengulanginya dengan pemantauan berterusan supaya tidak terjebak semula dalam kegiatan tersebut.
Sebelum ini, KDN memaklumkan 16 orang rakyat Malaysia (12 dewasa, 4 kanak-kanak) yang terlibat dengan gerakan IS telah pulang ke tanah air. Manakala 40 daripada 57 rakyat Malaysia yang berada di Iraq kerana menyertai gerakan ini telah memohon untuk pulang ke tanah air.
Pada tahun 2015, Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman mendedahkan jumlah keluarga dari Malaysia yang menyertai IS di Syria semakin meningkat.
Ada di antara mereka yang sanggup menjual sema harta peribadi termasuklah membuat pinjaman demi meneruskan misi menyertai gerakan tersebut. Selain kanak-kanak, yang paling ramai direkrut menyertai gerakan ini adalah daripada kelompok usia 20-an.
Sumber: FMT