Jual Bayi

Terpaksa ‘Jual’ Bayi Sendiri Kerana Tak Mampu Bayar Bil Hospital, Rumah Pula Ditenggelami Banjir

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang bayi terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat apabila ibu bapa kandungnya dilaporkan tidak mampu menjelaskan bil hospital.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Kosmo!, bayi yang dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang pada 30 Disember tahun lalu itu adalah milik sepasang suami isteri warga Indonesia.

Mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an itu dikhabarkan berasal dari Lombok dan tidak mempunyai pekerjaan pada masa itu.

Tambahan pula, rumah yang disewa oleh pasangan ini yang dikenali sebagai Fathiani dan Bambang di Karak telah ditenggelami banjir pada hujung tahun yang lalu.

Akibat kesempitan hidup dan tidak mempunyai wang, mereka tidak mampu untuk menjelaskan bil hospital berjumlah RM4,000 bagi mengambil bayi mereka.

Perkara ini akhirnya disedari oleh seorang wanita, Hasnah, 33, yang telah berkahwin sejak 9 tahun yang lalu, namun masih belum dikurniakan anak.

Dia mendakwa, dia dan suami pernah menyatakan hasrat untuk mengambil anak angkat di dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp kawasan kediaman mereka.

Kemungkinan ada individu tertentu yang mengenali pasangan Indonesia tersebut lalu telah memaklumkan mereka mengenai hasratnya itu.

“Mereka menyatakan tidak mempunyai wang untuk membayar bil sebanyak RM4,000 kerana terkesan dengan COVID-19 dan ditambah pula rumah mereka di Karak ditenggelami banjir. Mungkin mereka dipindahkan ke HoSHAS dari hospital di Karak,” katanya ketika ditemui oleh Kosmo!

Hasnah kemudiannya nekad untuk membayar bil tersebut dan membawa bayi itu pulang bersama beberapa dokumen yang diberikan oleh pihak hospital.

Walau bagaimanapun, dia agak kesal kerana pasangan tersebut kemudiannya didapati menghilangkan diri serta tidak dapat lagi dihubungi.

Tinjauan di kediaman sewa mereka yang terletak di Karak juga didapati rumah tersebut sudah dikosongkan.

Menurut Hasnah lagi, urusan pendaftaran bayi tersebut sebagai anak angkat memerlukan kehadiran ibu sebenar bagi urusan dokumentasi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Namun, kehilangan Fathiani dan Bambang sejurus bayaran bil hospital dibuat dan bayi tersebut diserahkan kepadanya menyukarkan lagi proses urusan pendaftaran ini.

“Kami sudah menguruskan segala keperluan untuk tujuan itu di JPN, suntikan pelalian dan usaha mengesan ibu kandung kepada bayi berkenaan, namun sehingga kini masih buntu,” tambahnya lagi.

Justeru itu, Hasnah amat berharap Fathiani atau Bambang dapat tampil untuk menghubunginya dengan kadar segera bagi menyelesaikan proses pendaftaran bayi tersebut sebagai anak angkat yang sah.

Jual Bayi

BACA: Sesak Teruk, Terpaksa Beratur Tunggu Giliran Hingga Lebih 8 Jam, KKM Digesa Perbaiki Mutu Perkhidmatan Di Hospital Kerajaan

Sumber & kredit foto: Kosmo!