Foto Editor Odisi

Terpaksa Gugurkan Anak? Ketahui Kriteria Dan Syarat Pengguguran Kandungan Di Malaysia Yang Dibenarkan Dalam Islam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Terdapat kes-kes tertentu pengguguran kandungan dibenarkan dalam Islam dan tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang di Malaysia.

Namun, masih ramai yang kurang jelas lantas terus ‘menghukum’ dan memandang serong terhadap golongan ibu yang terpaksa melakukan prosedur ini.

Ramai juga yang musykil kenapa ianya dibenarkan dan dibincangkan secara terbuka di media sosial seolah-olah ianya tidak salah dan sudah menjadi kebiasaan.

Seorang pakar Obstetrics and Gynaecology atau pakar bahagian perbidanan dan sakit puan, Dr Imelda menerusi laman Facebooknya telah menerangkan dengan terperinci mengenai apakah kriteria dan syarat sebenar pengguguran yang dibenarkan mengikut undang-undang dan fatwa di Malaysia.

Tangkap layar dari Facebook Imelda Balchin
– Tangkap layar dari Facebook Imelda Balchin

Ada seorang netizen mengadu kepada saya, kenapa pengguguran sebegini dibenarkan dan kenapa xxx kongsi cerita ini seolah-olah ini bukan satu kesalahan?

Mai nak habaq.

Memang benar, pengguguran yang disengajakan adalah haram dari segi kedua-dua undang-undang Malaysia dan fatwa Islam.

Saya sebagai doktor pakar yang berkhidmat di Malaysia, akan mengikut kedua-dua undang-undang Malaysia dan juga Fatwa Islam yang dikeluarkan oleh Mufti-Mufti Malaysia untuk dinasihatkan kepada pesakit ibu hamil saya.

Apa anda mesti faham ialah setiap yang haram ada pengecualiannya. Ada kriteria-kriteria yang membenarkan pengguguran dengan syarat-syarat tertentu.

Kriterianya ialah, sekiranya ibu yang hamil ada masalah perubatan yang serious, di mana meneruskan kehamilan boleh memudaratkan nyawa atau keselamatan ibu, maka diharuskan menggugurkan kandungannya.

Syarat-syaratnya ialah:

1) Penilaian kesihatan ibu hamil itu MESTI dibuat oleh doktor pakar specialist dalam Obsterics & Gynaecology dan dipersetujui oleh DOKTOR PAKAR O&G (bukan doktor GP, bukan pegawai perubatan, bukan Ustaz, bukan bidan, bukan jururawat dan bukan netizen).

2) Prosedur ini mesti dibuat di hospital oleh doktor pakar Obstetrics & Gynaecology.

3) Kaedah perubatan yang digunakan mesti selamat untuk ibu hamil.

4) Ada persetujuan dari suaminya (ini pun ada juga pengecualiannya).

5) Ada persetujuan ibu yang hamil (ini pun ada juga pengecualiannya jika cardiac arrest dan ibu tidak sedar diri untuk memberikan consent atau persetujuan).

Maka, setiap ibu hamil yang membuat permintaan untuk menggugurkan kandungannya layak mendapatkan rujukan kepada pakar specialist Obstetrics & Gynaecology untuk mempertimbangkan permintaannya.

Jangan lupa, masalah perubatan yang serious juga merangkumi kesihatan mental, maka pakar Obstetrics & Gynaecology dengan sokongan pakar Psychiatry, dibolehkan menggugurkan kandungan untuk masalah kesihatan mental.

Semua kes perkhidmatan pengguguran yang saya sudah jalankan untuk pesakit saya bertujuan menyelamatkan pesakit saya dari kemudaratan yang serious. Alhamdulilah mereka gugur dengan selamat.

Kita mesti elakkan membuat hukuman jika kita tidak tahu kisah sebenar dan tak tahu apakah penilaian kesihatan oleh pakar Obstetrics & Gynaecology. Saya pun tak mau beri pendapat untuk kes yang dikongsikan oleh xxx, sebab bukan saya yang pakar Obstetrics & Gynaecology yang membuat penilaian kesihatan ibu hamil itu dan saya tak boleh jadi judgemental membuat hukuman salah atau tidak sekiranya bukan pesakit saya dan saya tiada pengetahuan tentang masalah perubatannya yang sebenar.

Saya juga banyak kali menolak permintaan pengguguran oleh ibu hamil sebab tidak mematuhi kriteria dan syarat, tetapi saya mesti memastikan kedua-dua ibu hamil dan suaminya mendapat kaunseling dan bantuan kebajikan yang diperlukan.

Saya juga pernah beberapa kali menempuhi cabaran melihat kematian. Sekiranya ibu hamil tidak membenarkan saya menggugurkan kandungannya untuk menyelamatkan nyawa ibu hamil itu sendiri, maka saya pun tak boleh buat pengguguran itu walaupun ibu hamil itu akhirnya meninggal dunia bersama anak di dalam kandungan. Sudah beberapa kali saya melalui pengalaman pahit ini sebab tidak berjaya mengubah pendirian ibu hamil yang sanggup meninggal dunia.

Saya juga pernah merawat pesakit ibu hamil yang ada kanser tahap akhir yang tidak boleh diselamatkan. Setelah berbincang dan memberi kaunseling kepada pesakit saya, saya beri nasihat jika tidak mahu menggugurkan kandungan pun saya sokong, sebab saya tahu jika saya menggugurkan kandungannya, saya tetap tidak boleh menyelamatkan nyawa ibu hamil ini, jadi saya sokong untuk meneruskan kehamilan dan buat pembedahan Caesar sebelum ibu meninggal dunia.

Selepas itu beberapa doktor tegur saya, kenapa dari awal kehamilan saya tidak menggugurkan kandungan arwah ibu? Saya jawab sebab tujuan pengguguran ialah untuk menyelamatkan ibu hamil dan bila kita sudah tahu arwah ibu tidak boleh diselamatkan sebab kanser sudah merebak dan bila kita tahu arwah ibu akan meninggal dunia juga beberapa bulan selepas pengguguran, saya pun berikan arwah ibu hamil dan suaminya pilihan untuk meneruskan kehamilan ini sehingga anak di dalam kandungan sampai ke peringkat yang matang dan boleh hidup. Alhamdulillah anak ini sihat walaupun arwah ibu sudah tiada.

Saya harap netizen jangan jadi judgemental dan jangan buat hukuman tentang orang lain. Pengguguran itu dibenarkan tetapi mesti mematuhi kriteria-kriteria dan syarat-syarat dengan tujuan mencegah kemudaratan kepada ibu yang hamil.

Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat.

Salam dari Dr Imelda Balchin,
Pakar Obstetrics & Gynaecology
Subspecialist in Maternal & Fetal Medicine.

BACA: Raja Permaisuri Agong Kongsi Kisah Jalani 17 Kali Rawatan IVF Dan 6 Keguguran

Sumber: Imelda Balchin