T6-img1

Terminator: Dark Fate Sah Menjadi Filem Ke 6 Francais Ini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Benar, itu tajuknya, Terminator: Dark Fate. Sekurang-kurangnya tidaklah seteruk “Genesys,” bukan?

Walaupun sebelum ini dikatakan hanya sebagai working title, kini telah disahkan oleh Paramount yang tajuk ini adalah judul rasminya.

Diarahkan oleh Tim Miller (Deadpool) dan diterbitkan oleh James Cameron, Dark Fate mengembalikan bintang utama francais ini, Arnold Schwarzenegger dan Linda Hamilton.

Filem ini dikatakan sebagai permulaan baru buat siri filem-filem Terminator seterusnya, seperti mana pernah disebut hal yang sama ketika terbitnya Terminator Genesys (2015) dan oh, ketika Terminator Salvation (2009) juga.

Dark Fate akan menjadi filem sambungan terus dari Terminator 2: Judgement Day (1991) tanpa dikaitkan dengan filem Terminator lain sebelumnya termasuklah Terminator 3: Rise of the Machines (2003).

T6-img2

Turut membintangi francais terbaru ini ialah Mackenzie Davis (Halt and Catch Fire), Gabriel Luna (Agents of SHIELD) serta Natalia Reyes. Mereka adalah fokus utama penceritaan dan dikuatkan dengan kehadiran otai kita, Schwarzenegger bersama Hamilton.

Komen tentang tajuknya? Hmm.. Dark Fate bunyinya kurang menarik. Mungkin diambil dari mantra “There’s no fate but what we make for ourselves,” yang pernah diungkapkan oleh Kyle Reese buat Sarah Conner dan kemudiannya diturunkan pula kepada anaknya, John. Mungkin ‘nasib’ (fate) mereka tidak seindah mana selepas berjaya selamatkan dunia (Judgement Day) dan kini kembali ‘gelap’ (dark) kerana masih ada banyak lagi ‘terminator’? Entahlah.

Terminator: Dark Fate dijadualkan menemui penonton pada November kelak dan Paramount amatlah yakin dengan pertaruhan mereka kali ini (seperti filem-filem Terminator sebelum ini juga).

Kami di Odisi tidaklah meletakkan sebarang harapan kerana telah sering kali dikecewakan oleh francais ini dengan pelbagai janji manis. Apa pun, baguslah jika ia berjaya.

T6-img3
“Ambo kembali deh…”

Saksikan trailer terbaru filem ini di sini.

Sumber: Screenrant