Kes Kemalangan Pemandu Mabuk

TERKINI: Dua Kes Kemalangan Membabitkan Pemandu Mabuk

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dalam dua minggu ini sahaja, sudah berapa kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama tahun ini dengan lapan mangsa kehilangan nyawa.

Laporan hari ini, terdapat dua kes kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk.

Penunggang motosikal maut dilanggar pemandu mabuk

Kes Kemalangan Pemandu Mabuk
Sumber: Bernama

Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang, yang mana ketika itu mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan dijual isterinya.

Pemandu kereta yang bekerja di kedai aksesori kenderaan itu dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki terbabit.

Penunggang motosikal retak tempurung kepala dilanggar pemandu mabuk

Kes Kemalangan Pemandu Mabuk
Sumber: Bernama

Seorang penunggang motosikal cedera di kepala selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Kangar, malam tadi.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal dan belakang sebuah lori yang sedang menurunkan barang di tepi jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, pemandu kereta berusia 58 tahun itu telah ditahan untuk siasatan dan ujian pernafasan mendapati lelaki tersebut memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Lelaki itu yang bekerja sebagai tukang cat hanya cedera ringan sementara penunggang motosikal tersebut mengalami retak tempurung kepala serta kecederaan pada badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini,” katanya.

Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, melihat kes kemalangan akibat pemandu mabuk ini semakin menjadi-jadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Sumber: Bernama, BH