Sebab Bil Air Tinggi PKP

Terkejut Bil Air Naik Mencanak Semasa PKP? Ini Penjelasan Dari Air Selangor

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ramai yang mendakwa mengalami nasib bil air dan elektrik mencanak tinggi dari kebiasaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama di sekitar Lembah Klang yang mana ia diuruskan oleh syarikat Air Selangor.

Bagi menjelaskan tentang masalah ini, Air Selangor tampil dengan kenyataan rasmi untuk menjawab aduan orang ramai.

Menurut Air Selangor, sepanjang PKP mereka tidak membuat bacaan meter, sebaliknya mengeluarkan bil anggaran berdasarkan kepada maklumat purata penggunaan pada bulan sebelumnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 30 April lalu.

Sekiranya pelanggan mendapati bil anggaran pada Mac yang dikeluarkan sebelum ini terlebih caj dan pembayaran sudah dibuat ke atasnya,maka jumlah itu akan direkodkan di dalam akaun pelanggan.

Manakala, sekiranya terkurang (bil), ia akan ditambah di dalam bil bulan berikutnya berdasarkan bacaan meter sebenar.

Selepas PKP Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan yang memberi kelonggaran kepada syarikat dan perniagaan kembali beroperasi, pihak Air Selangor telah mula membuat pembacaan meter di premis. Ia dibuat bermula pada 2 Mei 2020 dan Air Selangor akan menyelaraskan bacaan meter sebenar untuk bil bulan April dan Mei.

“Selain itu, bil bulanan tinggi juga disebabkan oleh penggunaan semasa PKP yang tinggi berbanding bulan sebelumnya.

“Pelanggan disarankan melayari laman web Air Selangor bagi mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai jadual tarif bil air,” katanya.

Sebab Bil Air Tinggi PKP

Menerusi kenyataan sama, Air Selangor memaklumkan, bil air tinggi juga boleh terjadi disebabkan kebocoran pada sistem paip dalaman premis. Justeru, orang ramai dinasihatkan melantik tukang paip berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.

Tetapi jika pelanggan merasakan bil air yang tinggi ini berpunca dari bacaan meter yang salah, boleh menghubungi pihak Air Selangor untuk siasaatan lanjut.

Maklumat lanjut dan bantuan mengenai bil dan bekalan air boleh didapati dengan menghubungi talian 15300, Whatsapp ke 019-2800919 atau 019-2816793 , ke laman sosial rasmi di Facebook (FB) Twitter dan Instagram (IG) dan melayari laman web rasmi Air Selangor.

Sumber: Air Selangor