
Terima Ugutan Rogol Dan Dicarut Jadi Punca Guru Sekarang Hilang ‘Rasa’
Pelajar sekolah zaman sekarang amat berbeza dengan zaman dahulu. Pantang ditegur, cepat sahaja mereka naik minyak, malah sehingga berani mengeluarkan carutan serta ugutan rogol kepada guru.
Tiada lagi peribahasa ‘guru ibarat lilin sanggup membakar diri’ yang menjadi pegangan pelajar zaman dahulu pada pelajar zaman sekarang. Dengan kuasa media sosial, mereka merasakan diri sudah bebas untuk meluahkan perasaan tanpa batasan.

Seawal usia 13 tahun, pelajar-pelajar ini sudah berani melakukan kelucahan kepada guru dengan bukan hanya sekadar menggunakan perkataan yang melambangkan alat sulit, malah melukis, menunjukkan isyarat dan berkongsi gambar guru yang dilukis dalam keadaan lucah.
Keadaan ini semakin menjadi tidak terkawal sehinggakan ada kalangan guru yang seakan hilang fokus untuk memandaikan anak bangsa. Mengajar bukan kerana mahu menjadikan mereka (pelajar) orang yang berguna sebaliknya sekadar mahu melunaskan tanggungjawab.
Ya, mengajar tanpa rasa. Mahu ditegur, bimbang diapa-apakan. Mahu dicuit, nanti dituduh memukul dengan kuat dan bakal dikenakan tindakan. Sudahnya, pelajar-pelajar biadap ini tetap biadap gara-gara hilangnya ‘rasa’ seorang guru.
https://www.facebook.com/rohaifi/posts/10156871742404965
Tidak salah kita mahu memanjakan anak, namun sebagai ibu bapa pendidikan moral seperti adab bila berurusan dengan guru atau orang lain perlulah ditekankan. Bukan semuanya diletakkan di atas bahu pendidik di sekolah.
Ya, memang lain generasi lain cara didikannya. Tapi takkan mahu menegur demi kebaikan pun tidak boleh?
Membaca luahan daripada wakil-wakil guru seluruh Malaysia mengenai hal ini tidak pernahkah membuat kita terfikir, ke mana hala tuju anak bangsa kita jika seorang guru itu sudah hilang rasanya?