Batik Girl

Terima Pelbagai Anugerah Antarabangsa, Filem Pendek ‘Batik Girl’ Kini Di Youtube

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tiada apa yang lebih membanggakan daripada melihat batik tempatan diangkat ke persada dunia. Ditambah pula ilustrasi batik diabadikan dalam sebuah filem animasi pendek berjudul ‘Batik Girl’.

Ia merupakan hasil karya produksi, The R&D Studio dan usaha sama beberapa pihak iaitu Heidi Shamsuddin selaku penulis cerita, Tudidut Studio untuk proses menganimasikan watak dan Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara untuk komposisi muzik telah pun menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Filem berdurasi sembilan minit ini mengisahkan pengembaraan ajaib seorang kanak-kanak dalam dunia lukisan batik ketika menghadapi pergelutan akibat sau tragedi yang menimpanya.

Menurut pengarah dan rakan kongsi The R&D Studio, Irwan Junaidy berkata filem ini menceritakan sebuah kisah di Malaysia secara khususnya berlandaskan batik. Emosi utama yang diketengahkan di dalam filem ini adalah hubungan erat yang dapat dilihat antara seorang nenek dan cucunya.

Batik Girl
Sumber: Youtube

Batik Girl telah memenangi Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC) anjuran MDEC untuk kategori filem pendek pada tahun 2017 dan mendapat bantuan kewangan untuk penghasilan filem mini.

Filem animasi pendek ini juga mencipta rekod apabila ditayangkan di 26 festival filem di seluruh dunia dan berjaya memenangi beberapa anugerah termasuk anugerah Filem Animasi Pendek terbaik Festival de Largos y Cortos de Santiago di Chile dan anugerah Honorable Mention in Audience Favourite di Florida.

Filem ini turut dianugerahkan pingat emas bagi kategori serantau di Digicon6 Asia ke-20 pada November tahun lalu. Prof Richard William Allen, salah seorang juri di Digicon 6 Asia menggambarkan Batik Girl sebagai sebuah filem pendek animasi fantasi indah yang ditonjolkan melalui reka bentuk karakter dan mainan warna yang harmoni serta imaginasi kreatif.

Sumber: Sinar Harian