Budak Perempuan Main Dengan Pekerja Asing Singapura

Terharu, Budak Perempuan Ajak Pekerja Asing Main ‘Board Game’ Sementara Tunggu Hujan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Budak Perempuan Ajak Pekerja Asing Main ‘Board Game’ Sementara Tunggu Hujan

Kadang kala, pengajaran hidup datang dari tempat yang tidak dijangka.

Kanak-kanak mempunyai hati yang bersih, mereka tidak pernah peduli akan warna kulit, umur mahupun darjat.

Tular sebuah hantaran di laman Facebook mengenai seorang kanak-kanak perempuan duduk bersama tiga pekerja asing sambil bermain permainan papan sementara menunggu hujan reda.

Pengguna Facebook bernama Yang Kaiheng berkongsi foto dan hantaran itu mengatakan bahawa ia bukan pertama kali sepupunya itu berinteraksi bersama pekerja-pekerja tersebut. Sepupunya itu akan memberi mereka air dan sering mengajak mereka bermain-main bersamanya.

Menurut Kaiheng lagi, salah seorang daripada pekerja asing itu mengatakan bahawa rindu kepada anaknya di kampung halaman terubat apabila dapat bergaul dengan sepupu Kaiheng.

“Sepupu saya memanggil mereka semua dengan nama mereka dan sering gembira apabila mereka datang ‘melawat’ ketika waktu hujan.

“Walaupun persahabatannya dengan para pekerja itu adalah sesuatu yang sederhana dan tidak dapat dilupakan, ia mengingatkan saya bahawa semua prasangka yang kita ada terhadap orang lain dapat dipelajari secara tidak sedar melalui media atau pengalaman kita sendiri,” tulisnya.

Budak Perempuan Main Dengan Pekerja Asing Singapura
Sumber: FB

Di Singapura, kebanyakan kes positif COVID-19 adalah daripada kalangan pekerja asing dan ini membuatkan segelintir penduduk mempunyai sikap berhati-hati dan takut jika berdepan dengan mereka.

Namun, tidak bagi kanak-kanak ini kerana pada fikirannya, pekerja-pekerja itu semua kawannya dan dia hanya ingin menggembirakan mereka. Tidak pernah terlintas pun yang mana ada kemungkinan pekerja-pekerja itu membawa wabak mahupun perasaan takut yang luarbiasa terhadap mereka.

Kaiheng mengakhiri perkongsiannya itu dengan harapan agar anaknya sendiri akan membesar dengan nilai-nilai yang diterapkan dalam sepupunya itu. Beliau mengatakan adab harus diajar kepada kanak-kanak pada usia muda agar mereka mempunyai sifat perikemanusiaan apabila dewasa kelak.

Hantarannya itu mendapat lebih lapan ribu tanda suka dan enam ribu perkongsian. Rata-rata netizen memberi reaksi terharu dan bangga dengan didikan ibu bapa kanak-kanak itu.

Sumber: Yang Kaiheng