Pemaju Terima Gandum Yuran Pendahuluan

Terdesak Jual Kediaman, Pemaju Terima Gandum Dan Bawang Putih Sebagai Bayaran Pendahuluan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Umum mengetahui, banyak sektor yang terkesan teruk akibat penularan pandemik COVID-19. Hal yang sama termasuk sektor hartanah dan perumahan.

Perkara ini juga bukan sahaja berlaku di dalam negara, malahan di China terkena tempias yang sama.

Lazimnya, pemaju akan menawarkan pelbagai promosi yang memberi keuntungan kepada pembeli sebagai tarikan agar hartanahnya terjual.

Namun, keadaan ekonomi masa kini menyebabkan beberapa syarikat pembinaan di China terdesak dengan menerima gandum dan bawang putih sebagai bayaran pendahuluan bagi memastikan kediaman terjual dalam pasaran hartanah.

Iklan mengenainya tersiar dalam laman Hartanah Tengah China berpusat di Henan yang menyebut, pembeli boleh menggunakan hasil tanaman bagi menggantikan wang tunai.

Iklan tersebut dimuat naik menerusi akaun rasmi WeChat syarikat terbabit pada minggu lepas. Bagi setiap kati tanaman berharga dua yuan iaitu anggaran 500 gram, ia dinilaikan hingga 160,000 yuan (RM105,291.08) untuk pendahuluan seunit kediaman.

Ejen syarikat hartanah itu berkata, promosi dibuat menyasarkan petani di wilayah terbabit.

“Kami membantu petani dengan kasih sayang dan memudahkan mereka membeli rumah,” katanya.

Katanya, pembangunan di Henan menawarkan kediaman berharga antara 600,000 yuan (RM394,918.20) ke 900,000 yuan (RM592,377.30).

Akhir bulan lalu, syarikat lain di China Tengah turut menawarkan bawang putih sebagai ganti wang tunai untuk caj pendahuluan iaitu lima yuan (RM3.29) sekati.

Hasil promosi itu, telah menarik minat 852 pembeli dengan 30 transaksi berlaku membabitkan 51,600 kilogram bawang putih dalam tempoh 16 hari.

Harga pasaran bagi bawang putih dan gandum adalah 1.5 yuan (99 sen) untuk 500 gram.

Pemaju Terima Gandum Yuran Pendahuluan

Wilayah Henan merupakan hab pengeluaran utama bagi gandum dan bawang putih di China. Kempen tersebut dilaporkan telah tersebar secara meluas dalam media Cina sehingga trending di media sosial.

Pemaju hartanah di China bergelut untuk meningkatkan jualan selepas urus niaga meruncing pada Januari hingga Mei, berikutan sekatan ketat COVID-19 ditambah kebimbangan mengenai penolakan pasaran yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi hanya 5.5 peratus.

BACA: ‘Besi Jadi Emas, Simen Jadi Mutiara’ – Pemuda Luah Sedih Harga Rumah Meningkat Tak Setara Gaji

Sumber: CNN