Kenaikan Harga Makanan Mahasiswa Tahan Lapar

Terbeban Dengan Kenaikan Harga, Mahasiswa Terpaksa Tahan Lapar Setiap Malam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Di sana sini orang ramai mengeluarkan kenyataan resah dengan kenaikan harga barang yang melonjak naik.

Kenaikan mendadak harga barangan asas terutamanya makanan seperti ayam, ikan, sayur dan sebagainya memberikan kesan yang begitu besar buat rakyat.

Bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah, mereka yang memulakan pekerjaan baharu, bahkan golongan mahasiswa juga turut terkesan dengan ekonomi semasa.

Terpaksa tahan lapar setiap malam

Isu ini turut memberi kesan kepada golongan mahasiswa yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup tinggi. FMT melaporkan mahasiswa yang terpaksa menahan lapar setiap malam kerana isu tersebut.

Setiausaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Ooi Guo Shen tidak menafikan ada pelajar yang mengadu mula berasa tertekan dengan kenaikan harga barang.

Menerusi luahan di laman sosial kumpulan pelajar, katanya, ada dalam kalangan mereka yang bimbang menempuh semesta baharu kerana perlu memikirkan yuran pengajian dan kos keperluan harian.

“Risau nak naik semester baharu nanti. Sekarang hujung-hujung semester ini pun tengah berkiira duit makan dan yuran.

“Lapar, nak minta duit dekat orang tua, duit pun cukup-cukup makan sahaja. Setiap malam lapar, tapi tahan diri, dapat makan nasi boleh menitis air mata, rindu rumah,” demikian antara luahan yang dikongsikan pelajar seperti dirinya yang bukan datang daripada keluarga senang.

Kenaikan Harga Makanan Mahasiswa Tahan Lapar

Bukan itu sahaja, ada pelajar terpaksa berjimat cermat dan membuat kerja sambilan kerana wang pinjaman yang diterima tidak mencukupi serta perlu membantu menambah pendapatan keluarga di kampung.

“Rasa terbeban juga sekarang dengan harga makanan makin mahal, jadi walaupun sibuk dengan kuliah, cari masa juga buat kerjja sambilan sebab mak ayah saya pun pendapatan tak tentu, ada duit lebih bolehlah tolong mereka.

“Ada masa sedih juga, bila mak telefon tanya ada duit tak,, walaupun memang tengah susah. Tapi saya cakap saja ada duit sebab tak sampai hati nak minta,” luah pelajar.

Sementara itu, menerusi laporan Sinar Harian, kerajaan memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di IPT.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu akan membolehkan tanggungan kos sewa itu diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

Sumber: FMT, Sinar Harian