
Tentera Siber Dibayar Tunai RM100,000 Sebulan Untuk Jaga Publisiti Rosmah Mansor
Tentera siber dibayar tunai RM100,000 sebulan untuk jaga publisiti Rosmah Mansor.
Bekas pembantu Rosmah Mansor, Rizal Mansor dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mendedahkan bekas majikannya itu sanggup menyalurkan RM100,000 sebulan untuk pasukan tentera sibernya.
Menurut sumber Astro Awani, pembayaran yang dilakukan secara tunai dan diberikan sendiri oleh beliau bertujuan untuk menangkis tanggapan dan berita negatif yang boleh mencalarkan imej Rosmah Mansor memandangkan bekas majikannya itu merupakan seseorang yang amat mementingkan imej, reputasi dan tanggapan orang awam kepadanya sebagai isteri Perdana Menteri (pada ketika itu).

Antara berita negatif yang dimaksudkan termasuklah isu beg tangan mahal, perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuannya yang terlampau tinggi, ‘bos’ kepada suaminya, Najib Razak dan sebagainya.
BACA: Rosmah Mansor Cipta Kelainan Tampil Dengan Beg Cap Ayam
Pendedahan yang dibuat dalam perbicaraan rasuah kes projek solar hibris untuk sekolah luar bandar di Sarawak itu nyata mengejutkan orang ramai.
“Pada 2012, saya telah menubuhkan satu pasukan cyberstoopers atas arahan Datin Seri Rosmah.
Pasukan yang diuruskan oleh saya ini ditugaskan untuk memantau kandungan-kandungan media sosial yang kritikal atau memberikan persepsi negatif terhadap Datin Seri Rosmah.”
Rizal juga mendakwa bekas majikannya sentiasa mahukan publisiti dan liputan media ke atas aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh beliau termasuklah kerja-kerja kebajikan yang boleh menambah populariti dan imejnya.

Tambah Rizal lagi, sepanjang kerjayanya di Bahagian FLOM (First Lady of Malaysia), beliau mendapati setiap agensi sangat menghormati bahagian tersebut.
Menurut sumber Berita Harian, Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Pengurusan Perkhidmatan PMO, Huzairi Zainal Abidin mendedahkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada tahun 2009 telah menerima arahan untuk menamakan bahagian pengurusan penyelarasan program Perdana Menteri membabitkan beliau sebagai Bahagian FLOM.
Namun tiada sebarang dokumen yang boleh menunjukkan penubuhan FLOM kerana ia hanya berdasarkan arahan lisan dan membabitkan kegunaan dalaman PMO saja. Pada ketika itu, Bahagian FLOM ditempatkan di bangunan PMO bersama semua pegawai dan kakitangan serta turut dimasukkan ke dalam direktori laman web PMO.
Penggunaan nama FLOM itu menjadi isu yang besar kerana ada pihak yang beranggapan gelaran FLOM adalah untuk Permaisuri Agong.
Pada awalnya, pasukan Rosmah memohon mahkamah supaya melarang laporan media dibuat terhadap keterangan Rizal tetapi ditolak Hakim Mohammed Zaini Mazlan.