
Tengok Jenis Kereta Sebagai Lambang Status, Sikap Pengawal Keselamatan Tempatan Dikesali
Khidmat ‘pak guard’ atau pengawal keselamatan sememangnya diperlukan bagi menjaga keamanan komuniti di kawasan kediaman.
Pengawal keselamatan warga Nepal biasanya lebih popular di Malaysia kerana sikap mereka yang lebih mesra walaupun tegas.
Berbanding dengan pengawal keselamatan warga tempatan, mereka juga sering dianggap lebih rajin serta berbudi bahasa tanpa mengira status.
BACA: ‘Harapkan Pagar’, Wanita Ini Hampir Jadi Mangsa Habuan ‘Pak Guard’ Sendiri
Satu isu mengenai perangai ‘pak guard’ tempatan telah dibangkitkan oleh personaliti dunia seni terkemuka tanah air, Nam Ron di Facebooknya.
Dalam hantarannya tersebut, Nam Ron telah berkongsi pengalamannya yang seolah-olah menjadi mangsa diskriminasi status sosial di kawasan kediamannya sendiri.
Jom ikuti kisah menarik dari Nam Ron berikut:
KISAH MINDA TERJAJAH
Pihak pengurusan kediaman saya baru menukar pasukan pengawal keselamatan yang baharu. Sebelum ini pasukan tersebut terdiri dari pengawal warga Nepal tetapi kali ini dari orang lokal.
Ketika kawasan kejiranan ini dijaga oleh warga Nepal mereka akan mengangkat tangan setiap kali saya memandu keluar atau masuk melalui palang keselamatan. Mereka melihat pelekat di cermin depan kereta, membuka palang dan mengangkat tangan tanda hormat.
Namun, pasukan warga tempatan layanan mereka agak berlainan. Ketika saya mahu melintasi palang keselamatan mereka agak ragu ragu untuk membenarkan saya masuk. Mereka terlebih dahulu melihat kereta saya dan seperti keberatan untuk memberi saya masuk walau mempunyai pelekat keselamatan di cermin depan.
Selepas seperti terpaksa membuka palang mereka langsung tidak mengangkat tangan sebagai tanda hormat walau saya mengangkat tangan mereka tetap tidak membalas. Saya ingatkan mungkin itu cara mereka untuk menunjukkan kuasa. Saya tak kisah pun.
Siang tadi ketika saya mahu melalui palang keselamatan sebuah kereta Proton Saga BLM putih bersih di hadapan terlebih dahulu melaluinya. Palang diangkat pantas dan pengawal tersebut mengangkat tangan seperti memberi tabik.
Bila tiba giliran saya dia hanya menjeling dan langsung tidak mengangkat tangan walau saya mengangkat tangan terlebih dahulu. “Itu baru proton BLM. Gamaknya kalau BMW ataupun Range Rover macam mana pula cara dia angkat tangan. Mungkin dengan menghentak kaki sekali kot.” Getus hati saya.
Rupanya bukan saya seorang yang mengalami keadaan itu. Malahan isteri saya yang memandu kereta yang sama turut berdepan masalah yang sama. Dia malahan tidak dibuka palang hingga terpaksa menunjukkan pelekat keselamatan di cermin depan kereta kami baru dibukanya.
Mungkin dia lupa atau buat-buat lupa yang kami juga membayar gaji mereka walaupun memandu kereta Kelisa tahun 2001. Mungkin kereta yang dipandu mereka lebih baru dan cantik dari kereta yang dipandu oleh saya membuatkan mereka tidak percaya saya tinggal di kawasan yang kononnya mewah.
Itulah mentaliti kita yang memandang kereta yang dipandu untuk menentukan status ekonomi seseorang. Sumpah saya rindu pasukan keselamatan dulu yang berwarga Nepal. Rindu senyuman mereka tanpa kira kereta apa yang kita pandu.
P/s kalau kita tak memandu kereta buruk kita takkan kenal hati budi seseorang.
Sekian.
Sumber: Facebook Nam Ron