Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan Sehingga 14 April

Sumber: The Malaysian Reserve

Sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan akan dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Berita berkenaan yang baru sahaja diumumkan sebentar tadi oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin adalah bertujuan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 dengan lebih besar.

BACA: COVID-19: Kurang Kes Walaupun Berhampiran China, Ini Yang Perlu Kita Belajar Dari Taiwan

Walaupun pengumuman ini sudah dijangka dengan melihat kepada sikap rakyat Malaysia serta kadar peningkatan kes yang berlaku, namun Perdana Menteri tetap meminta rakyat Malaysia agar kekal tenang di rumah.

Ini turut dijangka sendiri oleh pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar yang mendakwa kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan ini akan dilanjutkan kepada dua bulan lagi selepas melihat pada sikap acuh tak acuh rakyat Malaysia yang masih lagi mengabaikan penjarakkan sosial serta tidak mengamalkan etika batuk dan bersih yang betul.

Perintah ini menekankan kepada enam perintah iaitu:

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan Mungkin Dilanjutkan Ke Dua Bulan
Sumber: FMT

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self-quarantine) selama 14 hari.

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

BACA: Rakyat Malaysia Dilarang Ulang Alik Ke Singapura Mulai Esok

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: Rakyat Malaysia Sedang Lakukan Yang Sama Seperti Penduduk Wuhan

Malah, rakyat Malaysia yang bergegas pulang ke kampung sejurus daripada Perintah ini dikeluarkan juga diminta agar #DudukDiamDiam di kampung dan tidak pulang ke bandar sehingga tempoh ini berakhir.

 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan merupakan satu kesalahan jenayah dan moral dan boleh dipenjarakan.

Jika anda masih ingkar mematuhi enam perintah ini, anda adalah penjenayah yang boleh dikenakan hukuman denda dan dipenjara di bawah Seksyen 11(4) bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.