
Telur Penyu Kini Dijual Secara Dalam Talian, TCS Gesa Laman Web Ini Saring Penjual Tak Bertanggungjawab
Telur penyu dijual dalam talian.
Umum mengetahui bahawa populasi penyu di negara ini mengalami kepupusan. Selain daripada faktor pencemaran, manusia juga antara faktor penurunan populasi haiwan ini.
Ia berikutan masih ada lagi golongan yang membeli dan memakan telur penyu walaupun kita sering diberitahu tentang populasi penyu-penyu ini semakin merosot.
Lebih mengejutkan, secara tidak sedar penjualan telur penyu makin berleluasa apabila penjual kini maju selangkah dengan menjualnya secara dalam talian sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut kenyataan ZoologiMY, sebelum ini telur penyu telah dijual di Facebook dan dihantar dalam radius yang terdekat tetapi kini mereka telah memasuki jualan di laman web Shopee yang membolehkan telur penyu ini dijual merentas negeri.
“Di bulan puasa ini, semakin ligat juga penjual mempromosi budaya memakan telur penyu.”
Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS) turut terpanggil untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bagi membendung kegiatan peniaga dan juga orang ramai membeli dan mencuba telur penyu ini.

Jom ramai-ramai pressure @ShopeeMY untuk menyaring pelanggan mereka.
Itu merupakan tanggungjawab korporat sosial Shopee, untuk menjadi platform e-commerce yang bertanggungjawab, dan tidak menggalakkan penjualan telur hidupan liar di Malaysia.
— Turtle Conservation Society of Malaysia (@TCSMsia) May 13, 2020
Kenapa ada yang masih memakan telur penyu sedangkan sudah maklum tentang kepupusan habitat ini?
Menurut ZoologiMY, pada era 1960-an, penduduk dunia hanyalah 3 bilion sahaja. Bekalan protein lain tidak banyak, justeru boleh menerima tradisi makan telur penyu yang mana ketika itu bukan bertujuan komersial dan sumber diambil dengan lestari.
“Sekarang ini, penduduk dunia sudah mencapai 7 bilion. Penjualan telur menjadi komersial dan tarikan pelancong pula. Malangnya, populasi penyu kita tidak meningkat selari dengan pertumbuhan populasi manusia, bahkan semakin menurun.
“Anda lihat penyu belimbing di Rantau Abang, ada naik lagi atau tidak? Penyu karah dan lipas di Terengganu dah tak sampai 10 ekor setahun.
“Yang tinggal hari ini hanya penyu agar, kalau terus di lahap saban tahun, apa lagi tinggal di Terengganu ini?”
Tambahan pula, Malaysia tidak begitu berjaya dalam usaha memulihara penyu memandangkan ia diletakkan di bawah bidang kuasa setiap negeri untuk menentukan undang-undang masing-masing berkaitan penyu dan perlindungannya, menyebabkan piawaian yang berbeza-beza.
Walaupun penjualan telur penyu dilarang di Sabah dan Sarawak, ia tidak dilarang secara jelas di Terengganu, kecuali untuk telur penyu belimbing.
Namun begitu, memetik laporan Sinar Harian yang dikeluarkan pada November 2019, Kerajaan Terengganu sedang meneliti cadangan meminda Enakmen Penyu Negeri Terengganu 1951 (pindaan 1987) yang hanya melarang penjualan telur penyu belimbing ekoran kemerosotan populasi bagi semua spesies penyu.
Justeru, ZoologiMY menyeru masyarakat hentikan penawaran dan permintaan telur penyu demi kelestarian sumber lautan kita.
Status terkini:
Difahamkan, pihak Shopee telah bersetuju penjualan telur penyu dikategori ‘ilegal’ dan iklan telah ditarik kembali.