Insan Terpilih Si Husein Gila 5

Telefilem ‘Insan Terpilih’ Diadaptasi Daripada Kisah Benar Si Husein Gila

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Telefilem ‘Insan Terpilih’ lakonan Syazwan Zulkifli yang ditayangkan di slot Cerekarama TV3 baru-baru ini mendapat perhatian ramai kerana plotnya yang meruntun hati. Mengisahkan mengenai seorang pemuda gila bernama Firdaus, Firdaus disayangi ramai kerana sikapnya yang rajin membersihkan surau dan kawasan kampung tanpa meminta apa-apa balasan melainkan mengharapkan ganjaran pahala.

Tetapi tahukah anda, kisah Firdaus ini sebenarnya diinspirasikan daripada kisah Si Husein Gila?

Insan Terpilih Si Husein Gila 6

Menurut perkongsian daripada salah seorang jemaah di sebuah surau di Klang, Selangor, Husein digelar gila kerana tingkahnya tidak seperti individu normal yang lain. Selalu berada di surau untuk membersihkan surau, Husein tidak akan menggunakan penyapu untuk membersihkan benda-benda kotor seperti tahi cicak.

Sebaliknya, beliau mengutip menggunakan tangan dan memasukkannya ke dalam kocek seluar kerana katanya, “rugilah aku kalau aku pakai penyapu, sedangkan kalau aku kutip menggunakan tangan, Allah gandakan 10 kali pahala aku.”

Sama seperti watak Firdaus, Husein akan menggunakan berus gigi bagi membersihkan tandas surau sehinggakan sehinggakan tugas itu satu hari pun tak siap. Setiap ceruk dinding akan disental dengan teliti.

Apabila ditanya kenapa, beliau dengan selamba menjawab, “kalau pakai berus lantai sekejap sahaja sudah siap. Kalau pakai berus gigi, malam baru siap. Setiap waktu berlalu, Allah berikan aku hadiah, jadi aku akan dapat banyak.”

Insan Terpilih Si Husein Gila

Apabila diberikan duit, Husein akan menolak. Katanya, “aku masih ada tangan, ada kaki boleh mencari makanan yang orang buang dan membazir berdosa. Aku tak perlukan duit, aku makan untuk hidup bersihkan surau.”

Punyalah mahu mengutip pahala, Husein sehinggakan memberi makanan kepada semut, katanya jika kucing boleh diberikan makanan kenapa tidak pada semut. Apabila diajak untuk solat bersama, Husein akan bertempik mengatakan bahawa dia gila tidak wajib untuk solat.

Pernah suatu ketika, muazin tidak sampai ke surau sedangkan Maghrib sudah hampir, “mana muazin ini tak azan ke dah nak Maghrib, aku sajalah yang azankan.” Beliau kemudiannya ditahan oleh jemaah surau tetapi imam menyuruh mereka membiarkan sahaja.

Paling terkejut, azan yang dilaungkan Husein itu cukup sempurna sehingga menitik air mata semua yang ada di surau. Bila ditanya, jawab beliau, “memanglah aku pandai, hari-hari aku disini, solat sahaja yang tak wajib. Aku solat cara kau tapi Allah tak wajibkan aku. Kau orang pun tak suka aku, semua duduk jauh-jauh.” Kemudian beliau gelak.

Selepas dikhabarkan beliau meninggal, jenazah dibawa ke surau untuk dimandikan. Tiga orang tukang mandi jenazah bertukar-tukar kerana tidak sanggup melihat jenazah Husein yang dahulunya hitam berdaki, gigi berkarat, berbau busuk bertukar menjadi harum mengalahkan haruman minyak atar yang dipakai jemaah surau.

Insan Terpilih Si Husein Gila 1

Kehilangan Husein sentiasa dirindui, sehinggakan imam bertukar-tukar semata mahu mendoakan kesejahteraan Husein. Ramainya orang yang mendoakan Husein setiap kali selepas solat mengalahkan orang mendoakan jenazah imam.

Ramai yang tertanya-tanya siapa Husein ini sebenarnya? Beliau sebenarnya merupakan seorang pelajar pondok. Namun sikap ibu tiri dan ayahnya yang suka menderanya menyebabkan beliau tekanan dan merayau tak tentu arah.

Telefilem arahan Nazir Jamaluddin ini benar-benar memberikan keinsafan dalam hati setiap yang menontonnya bahawa orang gila itu jauh lebih mulia hatinya daripada kita insan normal ini.

Yang masih belum menonton, anda bolehlah tonton semula di YouTube TV3 Malaysia. Jangan lupa sediakan tisu, kerana telefilem ini pasti membuatkan anda menitiskan air mata.

Sumber: Muhammad Suhail

 

 

Siapa layan De Niro?

Kolaborasi Robert De Niro & Martin Scorsese

dan jangan lupa subscribe Youtube ODISI.