
Telaga Tok Syeikh Gunung Jerai: Kerajaan Wajar Contohi Ketegasan Saidina Umar
Susulan dari beberapa laporan mengenai amalan khurafat yang berlaku di Gunung Jerai baru-baru ini, ramai pihak telah tampil dan menggesa pihak berwajib melakukan sesuatu.
BACA: Dakwa Nabi Adam Turun Di Gunung Jerai, JHEAIK Pandang Serius Amalan Khurafat Di Kedah
Telaga Tok Syeikh Gunung Jerai misalnya, telah dijadikan sebuah destinasi riadah dan pelancongan untuk orang ramai kerana mempunyai keunikan serta tarikan sejarahnya yang tersendiri.
Namun, kewujudan telaga yang dicanang hebat ini boleh menimbulkan salah faham golongan tertentu sehingga ada yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat untuk ritual ‘ambil berkat’.
Kerajaan digesa untuk menghalang perbuatan tersebut dengan lebih tegas seperti yang dilakukan oleh sahabat Nabi, Saidina Umar رضي الله عنه terhadap sebatang pokok pada satu ketika dahulu bagi menjaga akidah umat Islam.
Kisah ini dikongsikan oleh Ustaz Abu Mustaqim Khairul Ikhwan di Facebooknya berikut. Semoga kita sama-sama dapat menghayati pengajaran dari kisah ini dan dijauhi dari terjerumus ke lembah kesesatan.
Umar Al Khattab tebang pokok yang disebut dalam Al Quran
Berhampiran telaga terdapat pohon yang cukup rendang, namanya pohon Hadba’.
Di tempat inilah dan di bawah pohon telah terjadi baiah. Disebut juga dengan baiah al-Ridhwan yang dilakukan Rasulullah saw di bawah pohon. Ianya terjadi di bawah pohon sebagai mana tertera dalam Al-Quran surah al-Fath:18
لَّقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ
”Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon”
Ini adalah satu-satunya sebatang pokok yang disebut di dalam Al-Qur’an secara khusus. Jadi ia mempunyai sejarah yang amat tinggi. Akan tetapi apabila ada umat Islam yang mencari-cari pokok ini untuk mengambil berkat darinya dengan melakukan solat padanya, Saidina Umar رضي الله عنه telah mengarahkan untuk ia ditebang.
Ini sewaktu beliau menjadi Khalifah. Ini kerana beliau takut ada manusia yang akan melakukan syirik kepada pokok itu. Maka beliau telah memotong pokok itu. Kerana bukanlah kesan sejarah yang perlu dijaga sangat, tetapi akidah manusia yang lebih perlu dijaga.
Begitulah, ramai orang yang memarahi pemerintahan Kerajaan Arab Saudi yang telah menghancurkan tempat-tempat bersejarah. Mereka tidak faham bahawa tempat-tempat itu telah dijadikan sebagai tempat pemujaan, tempat solat, tempat ambil berkat dari orang-orang yang jahil tentang akidah. Maka tidak ada salahnya mereka memusnahkannya kerana itu tidak penting.
Maka di manakah asal kedudukan pohon itu pun tidak diketahui sampai sekarang. Kerana para sahabat yang mengadakan bai’ah di situ pun tidak ingat sebenarnya. Ini adalah kerana lama sangat kejadian itu dan mereka tidak ingat mana satu pokok itu.
Dan memang pokok itu tidak penting pun dan tidak ada kelebihan pun. Para sahabat رضي الله عنهم yang pergi dan berada dalam majlis baiah itu sendiri pun tidak ingat kedudukan pokok itu. Kalaulah ia penting, tentulah mereka akan buat tanda pokok itu.
Ia tidaklah penting, akan tetapi pada zaman tabein sudah ada mula buat masjid di kawasan sekitar itu kerana mereka kata ada keberkatan di tempat itu. Kalau zaman tabein pun sudah ada yang salah faham tentang hal berkat, apatah lagi kalau zaman sekarang?
Allah ﷻ memberitahu tentang pokok itu kerana hendak memberitahu bahawa majlis bai’ah itu bukanlah di dalam majlis yang hebat dan besar, tetapi di dalam suasana yang sederhana sahaja. Tetapi walaupun ia berbentuk ala kadar sahaja, ia tetap sampai boleh membawa mereka yang berbai’ah di bawahnya ke syurga. Kerana Allah ﷻ lihat kepada hati, bukan tempat kejadian itu. Begitulah kita, bukannya kita lihat pada perawakan seseorang, tetapi kita lihat kepada kebaikan hati seseorang itu.
Jika kita bertanya kepada penguasa agama. Mana lebih besar pokok ini dengan Telaga Tok Syeikh Gunung Jerai? Kenapa tidak dihalang perbuatan tersebut. Kalau benar-benar kerajaan yang meletakkan asas perjuangan Islam akan melihat perkara ini cukup penting. Kita bukan hanya bangga dengan Saidina Umar yang hebat dalam perjuangan tetapi kita perlu ikut beliau dalam menjaga akidah umat ini.
Sumber: Facebook Abu Mustaqim Khairul Ikhwan
Trending now



