
Tekanan, Masalah Kewangan Antara Punca Kes Bunuh Diri Sejak 2020
Tekanan, Masalah Kewangan Antara Punca Kes Bunuh Diri Sejak 2020
Pandemik COVID-19 ternyata memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.
Menerusi statistik terkini yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), direkodkan 631 kes bunuh diri sepanjang tahun 2020 dan 468 kes dalam tempoh Januari hingga Mei 2021 bersamaan purata dua kes setiap hari.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021 juga seramai 281 lelaki dan 1,427 orang wanita dilaporkan membunuh diri.
“Kebanyakan mangsa yang terbabit adalah berumur antara 15 hingga 18 tahun iaitu seramai 872 orang dan bagi mangsa yang berumur antara 19 hingga 40 tahun adalah seramai 668 orang.”
Selangor mencatatkan kes tertinggi sejak Januari 2021 hingga Mei 2021 iaitu sebanyak 117 kes.
Di samping itu, siasatan polis turut mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri iaitu masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.
Berdasarkan statistik, gantung diri adalah cara yang kerap dilakukan iaitu sebanyak 75.1 peratus, manakala terjun bangunan 13.6 peratus dan minum racun 5.7 peratus.
Terdapat beberapa perubahan tingkah laku yang akan ditunjukkan oleh individu berkenaan iaitu sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, sukar melakukan tugas harian seperti biasan dan tidak dapat tumpukan perhatian, menurut KP Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Mereka dilihat mengasingkan diri daripada kawan dan keluarga; mengalami gangguan tidur dan selera makan; bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling serta menyalahgunakan alkohol dan dadah.
Mereka juga akan menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan dengan hidup serta kehadirannya membebankan keluarga. Malah menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.
Jika terdapat gejala-gejala yang disenaraikan, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk.
Dalam pada itu, PDRM menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan seperti yang dinyatakan supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan pihak yang menyediakan khidmat masyarakat.
BACA: Malaysian Mental Care Association Tegur Pengamal Media Jangan Sensasikan Kes B*nuh Diri
Sumber: BH