Foto CNET/Twitter Andrew Jones

Teka-Teki ‘Rumah Misteri’ Di Atas Bulan Akhirnya Terjawab, Ini Sebenarnya Objek Tersebut Yang Didedahkan Oleh China

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bulan Disember 2021 yang lalu, dunia digemparkan dengan penemuan objek misteri berupa pondok atau rumah yang berjaya dirakam di atas bulan.

Kewujudan ‘rumah misteri’ di atas permukaan bulan tersebut telah dirakam oleh kenderaan atau ‘rover’ milik negara China yang diberi nama Yutu-2.

Foto CNET
– Foto CNET

Bagi mereka yang mengharapkan tahun 2022 ini sebagai tahun untuk manusia mula mencipta sejarah dengan berjaya menghubungi makhluk asing, pastinya berita ini amat mengecewakan.

Setelah mendekatinya dengan lebih hampir, Yutu-2 mendapatinya hanyalah — seketul batu. Ya. BATU! Aduh! Kecewa.

Pasti ramai peminat filem sains fiksyen yang mengharapkan ianya salah satu kapal angkasa Cybertron yang terhempas ketika peperangan di antara Autobot dan Decepticon seperti dalam filem Transformers: Dark of the Moon, kan?

Atau setidak-tidaknya sebuah monolit purba misteri berwarna hitam seperti dalam filem mahakarya Stanley Kubrick iaitu 2001: A Space Odyssey yang menggemparkan orang ramai satu ketika dahulu.

Ternyata ‘rumah misteri’ yang nampak seakan-akan berbentuk kiub di atas bulan tersebut hanyalah seketul batu kecil yang terletak di tepi sebuah kawah di permukaan bulan.

Andrew Jones, seorang wartawan yang membuat liputan program angkasa China untuk SpaceNews dan Space.com memaklumkan, penemuan penting tersebut masih dianggap hebat walaupun agak mengecewakan.

Bukan itu sahaja, menurut beliau lagi, jika betul-betul diperhatikan, bentuk batu tersebut sebenarnya nampak menarik dan ‘comel’.

Ianya seolah-olah menyerupai seekor arnab yang sedang membongkok bersama-sama dengan beberapa lobak merah berada dihadapannya. Sumber mengatakan batu tersebut juga telah diberi jolokan ‘Jade Rabbit’.

Foto Twitter Andrew Jones
– Foto Twitter Andrew Jones

Tambah beliau, terdapat juga beberapa kepingan batu kecil lagi yang berbentuk bulat di bahagian belakang ‘arnab’ tersebut yang kelihatan sebiji macam tahi arnab.

Seriuslah. Tahi arnab? Tidak dapat dipastikan setakat mana kebenaran berita ini.

Foto CNET/CNSA/CLEP
– Foto CNET/CNSA/CLEP

Mungkinkah terdapat pihak-pihak tertentu dalam kuasa besar dunia yang ingin menutup atau merahsiakan hasil sebenar penemuan Yutu-2 ini?

Atau mungkin juga sebenarnya terdapat spesies makhluk asing yang hanya ingin ‘buat lawak’ dengan manusia?

BACA: Matahari Buatan China, Benarkah Ia Melawan Ciptaan Tuhan?

Sumber: CNET.com