
Tawaran Belian Tanah Kampung Baru Oleh Kerajaan Masih Dibawah Harga Pasaran?
Akhir bulan lalu, isu penawaran pembelian tanah oleh kerajaan bagi membangunkan semula Kampung Baru telah menimbulkan kekecohan kerana tawaran harga untuk setiap kaki persegi hanyalah RM850 menjadikan purata lebih RM6 juta bagi setiap plot berkeluasan 8,000 kaki persegi.
BACA: Wajarkah Tanah Kampung Baru Dibeli Dengan Nilai RM850 Kaki Persegi Oleh Kerajaan?
Hari ini, menerusi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menambah RM150 bagi setiap kaki persegi menjadikan tawaran terkini adalah RM1,000.
Namun begitu, tambahan bayaran RM150 itu akan diperoleh dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan pada masa hadapan dengan bertujuan bagi menjamin hak pemilikan tanah di kawasan tersebut.

Manakala tawaran RM850 bagi satu kaki persegi pula merangkumi pilihan pulangan sama ada dalam bentuk tunai, aset atau tambahan pegangan saham yang mana perinciannya akan diperhalusi oleh agensi kerajaan berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak. Jika pemilik memilih tawaran tersebut dalam pemilikan bentuk aset, potongan harga sebanyak 15% akan diberikan oleh kerajaan.
Walaupun kerajaan sudah menambah harga tawaran mereka yang disifatkan sebagai tawaran terakhir dan terbaik yang boleh diberikan kepada semua pemilik, namun ianya tetap tidak menghilangkan kebimbangan penduduk mengenai kewajaran tawaran harga tersebut, iaitu:
- Jika dibeli dengan harga lebih tinggi, harga bangunan yang bakal dibina dijangkakan akan meningkat dari luar kemampuan.
- Tanah Kampung Baru merupakan tanah rizab yang nilainya jauh lebih tinggi iaitu melebihi RM2,000 sekaki persegi, jadi jika dijual dengan harga jauh lebih rendah ini akan menyebabkan rizab Melayu terus menyusut.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro