
Tawar Ganjaran RM38,000 Kepada Individu Rela Dijangkiti Koronavirus
Disebabkan kes jangkitan koronavirus yang semakin meningkat, sainstis United Kingdom (UK) mengambil langkah menawarkan ganjaran berjumlah RM38,000 kepada individu yang sanggup dijangkiti dalam proses menemukan vaksin kepada wabak berkenaan.
BACA: Wabak Koronavirus Menghampiri Tahap Pandemik – WHO
Membuka kepada umum, saintis dari syarikat Hvivo, United Kingdom akan mengkuarantin ‘sukarelawan’ berkenaan di dalam bilik berasingan di makmal selama dua minggu dan diberikan diet yang terhad.
Tidak dibenarkan mengadakan hubungan fizikal, sukarelawan akan diberikan jangkitan koronavirus 0C43 dan 229E, wabak koronavirus yang lebih ringan berbanding SARS-CoV-2 yang dikatakan lebih mudah berjangkit dan membunuh.
Memerlukan 24 orang individu sihat, demi ujian yang lebih berfokus, kajian akan dijalankan secara berkumpulan menggunakan kaedah FluCamp yang sering digunakan bagi mengkaji pelbagai virus.
Walau bagaimanapun, kajian ini dikatakan masih lagi belum mendapat kelulusan daripada pengawal selia penyelidikan perubatan UK.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu Eropah kini menjadi pusat penularan wabak koronavirus dan memberi amaran adalah mustahil untuk mengetahui bila wabak pandemik ini akan memuncak.
Dalam satu sidang media maya, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, selain China benua Eropah kini mempunyai lebih banyak kes dan kematian yang dilaporkan berbanding rantau lain di seluruh dunia secara keseluruhan.
Setakat ini, kes koronavirus yang dicatatkan di seluruh dunia adalah sebanyak 145, 853 dengan angka kematian kini sudah mencecah 5,438.
Daripada jumlah berkenaan, 72,550 dilaporkan sudah sembuh sepenuhnya dan 9% (6,082) daripada kes aktif berada dalam keadaan kritikal.
Angka kematian yang sudah melebihi 5,000 digelar sebagai penanda ttragis yang mustahil diketahui bila ianya akan memuncak di seluruh dunia.
Sumber: Astro Awani, Metro UK