Highland Towers Bakal Jadi Taman Rekreasi

Tapak ‘Berhantu’ Highland Towers Diroboh Akhir Tahun Ini, Bakal Jadi Taman Rekreasi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tapak ‘Berhantu’ Highland Towers Diroboh Akhir Tahun Ini, Bakal Jadi Taman Rekreasi.

Proses pengambilalihan tanah tiga kondominium Highland Towers di Hulu Klang kini dalam fasa peringkat akhir sebelum ia akan dirobohkan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya sedang menunggu kelulusan peruntukan berjumlah RM8.9 juta bagi membayar kos pengambilalihan tanah Highland Towers daripada kerajaan negeri Selangor.

“Sekarang ini kita dalam proses untuk pengambilalihan tanah. Jadi KPKT harus membelanjakan RM8.9 juta untuk pengambilalihannya sebagai tanah PTP (Pesuruhjaya Tanah Persekutuan) dan kemudian tanah yang ada tiga blok itu akan jadi hak kerajaan persekutuan.

“Saya tengah tunggu proses. Itu sahaja. Sebaik sahaja wang diluluskan, proses akan berjalan dan boleh robohkan blok itu dan selepas itu pembangunan boleh bermula.

“Proses pengambilalihan tanah sudah diputuskan dan kita tengah tunggu duit sahaja. Saya harap kita dapat robohkan struktur blok di Highland Towers pada hujung tahun ini,” katanya.

Highland Towers Bakal Jadi Taman Rekreasi

Highland Towers yang terbiar sejak 27 tahun lalu itu bakal dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi, mengikut pelan asal.

“Kita akan kekal dengan rancangan asal. Atas tanah itu kita akan bina taman rekreasi. Kita tidak akan bina bangunan,” katanya.

Pada Ogos 2018, Zuraida pernah mencadangkan tapak Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi. Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Manakala nama Highland Towers itu akan dikekalkan kerana ia mempunyai nilai sejarah.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Sumber: Berita Harian

BACA: Pasangan Beli Kediaman ‘The Conjuring’ Akui Rumah Itu Memang Berhantu