
Tangguh Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Dilanjut Kepada Enam Bulan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk memberikan lanjutan masa semua bayaran balik pinjaman PTPTN kepada enam bulan susulan daripada penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Sebelum ini, PTPTN telah bersetuju untuk menangguhkan semua bayaran balik pinjamannya selama tiga bulan.
Katanya, penangguhan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 September ini, dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.5 juta peminjam yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta.
Pengumuman ini disampaikan melalui perutusan menerusi rakaman langsung berkaitan dengan isu melibatkan COVID-19 dan inisiatif yang disediakan untuk rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penangguhan yang berkuat kuasa serta merta ini turut menyaksikan peminjam dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaaan dan perundangan.

Langkah ini bukan sahaja dilakukan oleh negara ini, malah turut berlaku pada negara yang terjejas dengan penularan wabak berbahaya ini. Seperti di Itali, mereka menggantung semua pembayaran balik semua pinjaman perumahan.
Langkah yang diambil Itali ini bukanlah kali pertama diambil, kerana ketika krisis kewangan melanda, Itali turut mengambil tindakan yang sama.
Berikutan daripada pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri, ramai yang kehilangan pendapatan apabila diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji.
Namun, sebagai pekerja anda wajib mengetahui hak yang anda boleh tuntut kepada majikan mengikut kepada Seksyen 60F Akta Kerja 1955 antaranya pemeriksaan kesihatan, tempoh kelayakan cuti sakit bergaji tanpa hospitalisasi, cuti sakit bergaji dan arahan kuarantin.