e-Hailing

Tambang e-Hailing Makin Melampau, Bilangan Penumpang Teksi Kini Meningkat 40%

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kenaikan tambang perkhidmatan e-hailing pada waktu puncak yang agak melampau akhir-akhir ini telah mendorong orang ramai untuk bertukar kepada teksi sebagai pengangkutan pilihan.

Bilangan penumpang teksi kini telah meningkat sebanyak 40% disebabkan oleh tambang e-hailing yang tinggi pada waktu sibuk, kata Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain.

“Adakalanya, apabila syarikat e-hailing menaikkan tambang mereka terlalu mahal, penumpang akan mencari teksi.

“Tambang e-hailing boleh dinaikkan (disesuaikan mengikut waktu tertentu) kerana kerajaan tidak memperkenalkan tambang terkawal (untuk perkhidmatan e-hailing), seperti yang dilakukan terhadap perkhidmatan teksi.

Menurutnya lagi, tambang e-hailing akan terus meningkat dan apabila bilangan teksi berkurangan, ia berupaya menjadi terlalu tinggi sehingga di luar kawalan.

Tambang Grab dari KL Sentral ke Jalan Tun Razak berharga RM14 pada waktu bukan puncak, misalnya pada pukul 2.30 petang.

Bagaimanapun, tambang menjadi lebih dua kali ganda kepada RM32 pada waktu puncak sekitar 6.30 petang untuk perjalanan sejauh 10km yang sama.

Pemandu teksi tidak boleh menganggarkan tambang kerana ia berdasarkan meter yang terus berjalan walaupun kenderaan itu tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Walau bagaimanapun, tambang permulaan bagi teksi ialah RM3 dengan tambahan RM0.10 untuk setiap 115 meter perjalanan.

Kamarudin bersetuju bahawa kemajuan teknologi seperti perkhidmatan e-hailing boleh memberi banyak manfaat kepada industri dan negara.

“Tetapi, apabila kerajaan gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengawal selia e-hailing dengan betul, ia akan memudaratkan perniagaan serta pemandu teksi dan e-hailing itu sendiri.”

Bersetuju dengan Kamarudin, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata perkhidmatan e-hailing seperti Grab sepatutnya mempunyai tambang siling seperti teksi.

“Masalahnya ialah tambang Grab menjadi sangat mahal pada waktu puncak, cuti umum dan keadaan cuaca buruk. Kosnya boleh menjadi dua kali ganda atau lebih tinggi dan sangat tidak masuk akal.

Mohideen berkata banyak penyedia e-hailing lain seperti MyCar, Maxim dan InDriver mempunyai tambang yang berpatutan tetapi apabila pelanggan cuba menempah perjalanan, ia mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkannya, itu pun sekiranya ada.

Beliau berkata Grab masih mempunyai monopoli ke atas pemandu. Jadi, walaupun tambangnya boleh menjadi sangat mahal, ia masih dilihat sebagai pilihan yang lebih dipercayai berbanding dengan penyedia perkhidmatan e-hailing lain.

1 e-Hailing

Sumber: theSundaily