
Taman Yang Dibina Dari Abu Mayat Pesakit COVID-19 Tidak Dituntut
Taman yang dibina dari abu mayat pesakit COVID-19.
Saban hari kita mendengar kes kematian disebabkan wabak pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.
Setakat hari ini, sudah lebih 201 juta kes dicatatkan dengan jumlah korban mencecah 4.27 juta dan sembuh sebanyak 181 juta.
Susulan daripada angka korban yang semakin meningkat dari hari ke hari, tidak dinafikan pengurusan mayat semakin sukar.
Dengan lambakan mayat yang tidak dituntut menjadikan ruang untuk penyimpanan abu mayat tidak mencukupi.

Di India, mereka ada cara untuk mengatasi masalah lambakan abu 6,000 pesakit COVID-19 yang tidak dituntut iaitu dengan cara ‘mengabadikan’nya menjadi sebuah taman.
Idea ini muncul selepas tempat pembakaran mayat kehabisan bilik untuk menyimpan abu tersebut dan kerajaan bandar New Delhi mengambil inisiatif ini.
Kawasan kosong seluas 12,000 kaki persegi akan dibangunkan menjadi lokasi kawasan perkuburan dalam masa yang sama tempat bagi memperingati yang pergi disebabkan wabak berkenaan.

Abu akan dicampur dengan tanah, bahan buangan lembu, habuk kayu, pasir dan beberapa bahan lain sebelum dijadikan baja kepada 3,500 hingga 4,000 tanaman yang dijangka akan ditanam di sana.
Setiap hari, 100 hingga 150 mayat dibakar. Dan walaupun penambahan loker sudah dibuat sehingga 500 buah, ianya tetap tidak mencukupi.
Masalah ini juga disebabkan ada antara waris yang hanya mengambil sedikit tulang mayat dan bukannya kesemua daripada mayat.
Selain daripada ditanam di kawasan taman tadi, ada antara sukarelawan yang menaburkan abu mayat ke Sungai Ganga sebagai penghormatan kepada si mati.
Terdahulu, bekalan perubatan lain seperti katil di India dilaporkan semakin tiada menyebabkan ada pesakit terpaksa menerima rawatan di rumah dan mengambil ubatan daripada pasaran gelap yang mana harga satu silinder oksigen boleh mencecah lebih 50,000 Rupee (RM2,747.25) sedangkan harga pasarannya cuma sekitar 6,000 Rupee (RM329.67).
Baca lanjut di: Bekalan Oksigen Kritikal, India Jangka Bakal Catat Kes Harian COVID-19 Setengah Juta
Sumber: Insider