
Taman Tema ‘Upin & Ipin City’ Bakal Dibina?
Filem animasi tanah air, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mencatat kutipan RM5.3 juta dalam masa 4 hari tayangan.
Mana tidaknya, tayangan yang berlangsung ketika musim cuti sekolah menjadikannya tidak mustahil untuk filem animasi 3D ini mendapat kutipan melebihi RM10 juta dalam masa beberapa hari lagi.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, ia dijangka dapat mengangkat animasi tempatan setanding karya besar luar negara.
Kejayaan siri animasi ini menjadikannya terkenal di luar negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura serta mampu memasuki Disney Channel Asia pada tahun 2009.
Bukan itu sahaja, Les’ Copaque juga telah memenangi pelbagai augerah tempatan dan serantau sehingga menjadikan siri Upin & Ipin ini antara siri animasi Malaysia yang paling lama diterbitkan.
Bermula dari siri animasi televisyen hingga ke layar perak, menjadi terkenal dalam kalangan kanak-kanak apabila banyak alat mainan dan alatan sekolah diwarnai watak-watak animasi ini. Begitu juga dengan restoran Upin & Ipin yang ada beberapa cawangan di sekitar lembah klang.
Mahu mengembangkan lagi rangkaian siri animasi Upin & Ipin, Burhanuddin berkata impiannya bakal menjadi realiti apabila mahu membina sebuah taman tema berkonsepkan siri animasi tersebut, ‘Upin & Ipin City’.
“Saya telah menyuarakan tentang impian membina taman tema sejak 2014 lagi, namun kami belum mendapat rakan kongsi.
“Tetapi sekarang ini, saya mendapat seorang pelabur yang ingin menjadi rakan kongsi dari Amerika Syarikat.”- katanya yang merujuk Walt Disney, bertanggungjawab dalam projek Disneyland sehingga menjadi terkenal di seluruh dunia.
Beliau juga berharap projek taman tema yang bakal diadakan itu dapat dijalankan pada penghujung tahun 2019.
Sumber: Awani Review
Trending now



