
Taktik Baharu Penyamun Jalan Raya? Polis Nasihatkan Jangan Sebar Mesej Berita Palsu
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan mesej berita palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran pada masyarakat,” tegas Setiausaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin.
Tambah beliau lagi, mana-mana pihak yang menyebarkan mesej atau berita palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang dikuat kuasa.
Kenyataan tersebut dibuat selepas timbul dakwaan mengenai satu taktik baharu dalam jenayah samun di jalan raya.
Pihak polis dilaporkan telah mengesan penyebaran mesej yang mendakwa penyamun akan meletakkan telefon dalam keadaan lampu menyala bagi menarik perhatian mangsa supaya berhenti di atas bahu jalan. Mana-mana mangsa yang berhenti kemudiannya akan disamun.
Memetik laporan wartawan Nuraina Hanis Abd. Halim dari Utusan Malaysia, setakat ini, pihak polis mengesahkan masih tidak menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan seperti itu.
“PDRM mengesahkan bahawa tiada laporan polis berkaitan modus operandi tersebut,” jelas Datuk Noorsiah.
Apa-apa pun, berhati-hatilah di jalan raya.
BACA: Polis Tampil Jelaskan Isu Tular Ambulans Berhenti Beri Laluan Kepada VIP
Sumber: Utusan Malaysia