
Tak Sempat Sambut Ulang Tahun Ke-100, Coliseum Cafe Kuala Lumpur Tutup Operasi Selamanya
Coliseum Cafe Kuala Lumpur Tutup Operasi Selamanya.
Restoran ikonik Kuala Lumpur yang popular dengan masakan gaya barat Hainan dan nostalgia era kolonial sejak 1921 kini hanya tinggal kenangan apabila tidak dapat diteruskan operasi selepas tempoh sewaan di bangunan tersebut tamat.
Kali terakhir Coliseum Cafe yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman dibuka pada Mac tahun lalu, malahan tidak sempat meraikan ulang tahunnya ke-100 yang dirancang diadakan tahun ini.
Memetik sumber Malaysian Insight, Coliseum Cafe itu sebenarnya sudah terkesan sejak pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, menurut Pengurus Bahagian Pemasaran Francais, Azrain Azman.
“Benar, keputusan itu adalah yang terbaik. Kami sedih tidak dapat menyambut ulang tahun yang ke-100.
“Kami tidak dapat bertahan sejak pada awal PKP lagi. Kami hanya bergantung kepada pelanggan yang ‘dine-in’ dan disebabkan PKP pelanggan tetap tidak dapat datang ke kafe,” katanya.
Februari lalu, kafe ikonik yang terkenal dengan daya tarikan Tanah Melayu lama ini telah ditampilkan dalam Prestige Malaysia dalam senarai lapan restoran tertua di Asia yang berusia sekurang-kurangnya 100 tahun.
Bagaimanapun, tiga cawangan lain yang terletak di Plaza 33 di Petaling Jaya, MidValley Megamall dan IOI City Mall Putrajaya masih beroperasi.
Beberapa barangan ikonik termasuk kerusi dan alatan makan yang berusia seabad diselamatkan dengan sebilangan pinggan mangkuk lama di kafe itu dipamerkan di cawangan IOI City Mall.
Mengungkap sejarah, kafe ini hanya terbuka untuk komuniti Inggeris yang bekerja dan menetap di Tanah Melayu. Dikunjungi oleh pegawai kerajaan, pemilik lombong tin, peladang dan kakitangan tentera bersama-sama keluarga mereka untuk minum petang, koktel dan makan malam.

Hidangan istimewa di Coliseum Cafe ialah stik istimewa dengan 4 jenis sos berbeza, chicken chop ala Hainan, mihun Hainan, mi goreng mamak, nasi goreng dan aneka pencuci mulut seperti pisang goreng, aiskrim goreng, krim karamel dan kopi Hainan.
Sumber: Malaysian Insight