
Tak Perlu Tunggu Giliran Lama, Anda Boleh Tempah Slot Janji Temu Untuk Urusan Di Maybank
Cakna dengan keadaan semasa negara, Maybank memperkenalkan satu sistem yang membolehkan pelanggan tempah dahulu slot temu janji sebelum menghadirkan diri untuk berurusan di cawangan Maybank, iaitu Maybank EzyQ.
BACA: Maybank Dan Grab Bekerjasama Perkenalkan Kad Kredit Mastercard Platinum
Peningkatan kes secara mendadak belakangan ini memang agak merisaukan orang ramai. Walaupun takut dengan keadaan sekarang, orang ramai tetap perlu keluar demi menyelesaikan urusan seharian termasuklah urusan melibatkan perkhidmatan kaunter di bank.
Menerusi sistem Maybank EzyQ, pelanggan tidak lagi perlu menunggu lebih lama kerana mereka boleh memilih slot masa yang bersesuaian dengan tempah slot di Maybank EzyQ seawal sehari hingga 10 hari bekerja sebelum berurusan di cawangan Maybank terdekat.
Antara urusan yang disediakan termasuklah pembukaan akaun baharu, kad debit, khidmat nasihat penjualan, perkhidmatan kaunter dan sebagainya. Namun untuk urusan transaksi ASNB, anda perlulah rujuk kepada cawangan terdekat.
Selepas selesai menempah slot, anda akan menerima pengesahan slot masa yang dipilih dalam hari sama dan e-mel peringatan akan dihantar sehari sebelum bagi mengingatkan anda mengenai slot anda.
Buat masa sekarang, perkhidmatan tempah slot di Maybank EzyQ ini hanya tersedia di 90 cawangan Maybank dan akan ditambah dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan perkhidmatan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) sudah boleh dilakukan secara dalam talian bermula 9 Oktober ini menerusi sistem MyEG.
Manakala bagi Lesen Memandu Kompeten (CDL), permohonan secara dalam talian akan boleh dilakukan bermula 19 Oktober ini dan ianya tidak termasuk Lesen belajar Memandu (LD) dan Lesen Memandu Percubaan (PDL).
Baca lanjut di sini: Tak Perlu Ke Kaunter, ‘Renew’ Lesen Kenderaan Anda Secara Dalam Talian Bermula 9 Oktober Ini
Pelaksanaan ini merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha mendigitalkan perkhidmatan sedia ada selaras dengan norma baharu yang perlu dilakukan sempena dengan situasi dunia yang sedang dilanda wabak pandemik COVID-19.
Jangan alpa dan tetap patuh dengan perintah penjagaan kesihatan seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ingat, kita masih belum menang!