
Tak Pakai Pelitup Muka Dan Jaga Jarak Fizikal, Pengemis Berdepan Kompaun RM10,000?
Bermula 11 Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu nilai kompaun bagi kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000.
Namun jumlah sebenar kompaun yang dikenakan tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) sekiranya pesalah membuat rayuan.
Semalam, media sosial dihangatkan dengan satu berita daripada Borneo Today yang mendakwa sembilan orang wanita komuniti Palauh yang mengemis telah dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak fizikal.

Kesemuanya yang berusia antara 17 hingga 41 tahun itu ditahan bersama dengan 25 orang kanak-kanak (anak kepada pesalah) dalam satu operasi pemantauan COVID-19 yang dijalankan di dua lokasi di Lahad Datu bagi mengesan individu yang meminta sedekah daripada pengguna jalan raya tanpa menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Kejadian ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq secara terbuka mengkritik kejadian ini sebagai sesuatu yang buruk.
https://www.facebook.com/syedsaddiqofficial/posts/3762283510517314
Kes yang disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.3) 2021 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun dalam kenyataan terbaharu kepada media MalaysiaKini, pihak polis menafikan perkara tersebut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu memberitahu, kompaun hanya dikenakan terhadap warganegara Malaysia, tetapi berkata polis sedang menyiasat wanita tersebut.
Untuk pengetahuan anda, suku Palauh adalah komuniti tanpa kerakyatan.