
Tak Pakai ‘Mask’ Dan Tunjuk Jari Tengah, Mat Salleh Kanada Hanya Terima Hukuman Ringan
Seorang lelaki warga Kanada yang tidak mahu memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah kepada ‘pak guard’ di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur baru-baru ini hanya dijatuhkan hukuman denda pada kadar ‘diskaun’ oleh Mahkamah Majistret.
Pernah sebelum ini, wanita Minah Salleh atau ‘Karen’ yang buat kecoh tak pakai ‘mask’ telah dikompaun. Kini, giliran lelaki atau ‘Ken’ pula yang tunjuk besar kepala dan akhirnya didakwa selepas videonya menjerit-jerit sambil mencarut-carut itu tular di TikTok 17 April lalu.
Lelaki berimej ganas dan bertatu ‘ala-ala gengster’ tersebut walau bagaimanapun masih mendapat ‘diskaun’ atas perbuatan kurang ajarnya tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, Theberge Travis Lee, 44 didakwa melakukan perbuatan kurang sopan dengan menunjukkan isyarat jari tengah kepada pengawal keselamatan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang pada 9.30 malam, 16 April lepas.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua tidak mahu memakai pelitup muka pula adalah di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2022, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya memohon hukuman setimpal dijatuhkan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Namun, peguamnya memohon hukuman lebih ringan atas alasan anak guamnya baru sahaja bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di negara ini dan perlu menanggung tiga kakaknya yang berada di Kanada.
Selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu, dia akhirnya dijatuhkan hukuman denda RM100 atau sehari penjara bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, dia hanya dikenakan denda RM700 sahaja atau dua minggu penjara berbanding denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan.
Majistret memerintahkan tertuduh dipenjara 15 hari jika gagal membayar keseluruhan denda yang telah ditolak ‘diskaun’ berjumlah hanya RM800 tersebut.
Lelaki Kanada itu dengan selamba membayar denda berkenaan tanpa sebarang masalah.
Sumber: BERNAMA
Trending now



