
Taikun Malaysia Tawar Bidaan Paling Tinggi, RM5.2 Bilion Untuk Beli Semula PLUS
Taikun yang juga ahli perniagaan berpengaruh, Halim Saad dilaporkan telah menawarkan untuk membeli keseluruhan pegangan Khazanah Nasional Bhd dalam PLUS Malaysia Sdn Bhd pada harga RM5.2 bilion.
Jumlah yang ditawarkan itu merupakan jumlah bidaan yang paling tinggi dengan penawaran diskaun tol sehingga 25% dan status tempoh konsesi kekal seperti sekarang sehingga tahun 2038 kelak.
Halim yang merupakan bekas pengerusi Renong Bhd dan pernah menguasai UEM Group Bhd mengesahkan beliau telah mengemukakan cadangan tersebut pada 11 Oktober lalu sekaligus memperlihatkan bahawa beliau mahu kembali ke sektor operasi lebuh raya.
5 Oktober lalu, pemegang saham utama PLUS Malaysia, Khazanah Nasional Bhd menegaskan bahawa mereka tidak berminat untuk menjual aset strategik tersebut kepada mana-mana pihak termasuklah entiti swasta asing dan tempatan.
Khazanah dan anak syarikatnya, EUM memegang 51% kepentingan dalam PLUS manakala selebihnya dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan peratusan 49%.
9 Oktober lalu, cadangan pengambilan itu dikemukan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Sejak pilihan raya umum Mei 2018 lalu, pengambilalihan PLUS merupakan antara isu yang menjadi perhatian ramai.
Dengan penawaran Halim, persaingan mengambil alih PLUS Malaysia telah bertambah dan menjadikan jumlah pesaing seramai lima ipihak iaitu tiga pihak dalam negara dan dua syarikat asing.
Pada 10 Oktober, Maju Holdings Sdn Bhd dilaporkan telah memperbaharui cadangannya dalam mengambil alih PLUS dengan menawarkan pengurangan tol daripada 25% kepada 36% selain daripada menanggung pengurangan tol sepenuhnya dan tidak akan medapatkan pampasan daripada kerajaan.
Maju Holdings Sdn Bhd turut memberikan cadangan untuk menyerap pampasan tol sebanyak RM2.7 bilion jika mereka berjaya mengambil alih pengendali konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia.
RRJ Capital Ltd, salah sebuah syarikat pelaburan yang berpangkalan di Hong Kong yang dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia telah menaikkan harga tawaran daripada RM3 bilion kepada RM3.5 bilion.
Widad Business Group (WBG) menawarkan untuk membeli konsesi PLUS Malaysia dengan melibatkan pertimbangan tunai sebanyak RM1.5 bilion atau 100% konsesi milik Khazanah dan KWSP pada pertimbangan tunai sebanyak RM3 bilion.
Lebuh raya yang terlibat dalam konsesi PLUS Expressways Bhd ialah Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Butterworth Kulim dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.
Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebanyak 84 aset Khazanah telah dilupuskan dari 2009 hingga empat bulan pertama 2018 di bawah pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh Najib Razak dahulu.
Untuk rekod, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan itu telah melupuskan lapan aset Khazanah (2009), tujuh aset (2010), lapan aset (2011), 10 aset (2012) enam aset (2013, 2014), 10 aset (2015), 13 aset (2016), 12 aset (2017) dan empat aset (empat bulan pertama 2018) sehingga mencatatkan kerugian sebanyak RM6.3 bilion.
Najib Razak sebelum ini mengkritik kerajaan Pakatan Harapan berhubung penjualan aset Khazanah termasuklah Pusat Perubatan Prince Court. Sejak Mei 2018 hingga Jun 2019, Khazanah melaksanakan pelupusan aset berjumlah kira-kira RM18.8 bilion iaitu RM3.2 bilion (Mei hingga Disember 2018) dan RM15.6 bilion (Jun hingga Jun 2019).
Namun, Azmin Ali tetap mempertahankan keputusan kerajaan terkini dalam melupuskan 16% pegangan Khazanah dalam IHH Healthcare Berhad (IHH) kepada Mitsui & Co LTD dari Jepun pada premium 20% pada setiap unit saham dengan harga RM6 (harga pasaran IHH RM5) yang juga rakan kongsi strategik IHH.
Menurut Azmin, sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, lebih kurang setahun Khazanah berjaya mengurangkan hutangnya daripada RM55 bilion kepada RM47 bilion (-RM8 bilion) hasil pelupusan aset pada 2018 dan 2019 dan dijangka akan dikurangkan lagi kepada RM35 bilion dalam tempoh jangka sederhana.
Sumber: FMT, Berita Harian
Jom saksikan Rambo: Last Blood di pawagam berdekatan sekarang!
https://www.instagram.com/p/B2Wj8RzFmRs/