
Tahukah Anda, Pam Tandas Boleh Jadi Punca Kapal Selam Karam?
Tahukah anda, pam tandas boleh jadi punca kapal selam menjadi karam?
Semasa Perang Dunia Kedua, sebuah kapal selam milik Jerman U-1206 telah karam hanya disebabkan ini. Jerman merupakan peneraju kepada sistem pengurusan sisa kumbahan bagi kapal selam.
Di saat kapal selam lain masih menyimpan sisa kumbahan dalam tangki septik, Jerman sudah berjaya mencipta teknologi yang membolehkan sisa kumbahan dilepaskan secara terus ke laut.
Namun sama seperti sistem-sistem lain di peringkat awal, sistem ini mempunyai kelemahan yang mana sisa kumbahan hanya boleh dilepaskan ke laut hanya apabila kapal selam berada berhampiran permukaan laut kerana tekanan udara pada ketika itu adalah rendah.
BACA: Jurutera Malaysia Ini Terima Pengiktirafan NASA Atas Rekaan Tandas Untuk Angkasawan
Semakin menghampiri klimaks peperangan, Jerman merasakan sistem ini hanya membahayakan kapal selam mereka kerana menyebabkan kedudukan mereka mudah dikesan musuh. Oleh itu Jerman terus mencuba mencipta satu sistem yang membolehkan sisa kumbahan dibuang ketika kapal selam berada di dalam laut.
Menjelang tahun 1945, Jerman akhirnya mencipta sistem kumbahan ini menggunakan satu teknologi baharu dan kapal pertama yang menggunakannya ialah kapal selam U-1206. Sistem ini yang kompleks untuk dikendalikan menyebabkan setiap daripada penggunanya dilatih terlebih dahulu untuk menguruskannya bersama seorang pakar khas.
Namun semasa di dasar laut dengan kedalaman 200 kaki, kapten kapal, Karl-Adolf Schlitt telah menggunakan tandas dan meminta seorang jurutera yang dilatih untuk membantu mengendalikan sistem tandas tersebut.
Malangnya, jurutera tersebut telah memusingkan injap ke kedudukan yang salah. Akibatnya sisa kumbahan yang sepatutnya dibuang ke luar kapal telah tersedut ke dalam kapal bersama-sama dengan air laut menyebabkan ruang kapal selam dibanjiri dengan air dan sisa kumbahan yang ada.
Dalam keadaan ini, tindak balas kimia menghasilkan gas klorin yang berbahaya. Arahan kecemasan dikeluarkan untuk kapal selam naik ke permukaan laut dengan kadar segera menggunakan tembakan peluru terpedo.
Tindakan ini telah menyebabkan pihak musuh mengetahui kedudukan mereka dan menyerang secara bertubi-tubi dari arah udara. Karl-Adolf Schlitt kemudiannnya mengarahkan agar semua krew keluar menyelamatkkan diri dengan berenang ke persisir pantai. Akibatnya tiga orang krew dilaporkan meninggal dunia sementara yang lainnya ditangkap.
Sehingga kini, kapal selam U-1206 dikatakan masih terdampar di dasar laut di lokasi kejadian.
Kejadian ini menjadi pengajaran terbesar kepada jurutera supaya berhati-hati dalam mengendalikan operasi sistem kerana kecuaian boleh menyebabkan korban nyawa.
Sumber:
Trending now



