SkyUp Airlines Pramugari Pantsuit

Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Ukraine Pecah Tradisi, Benarkan Pramugari Pakai ‘Pantsuit’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Setiap syarikat penerbangan memiliki pakaian seragam yang mencirikan pramugari. Pakaian seragam ini menambahkan rasa bangga ketika pramugari mengenakannya lebih-lebih lagi ketika berjalan di tengah lapangan terbang melewati ribuan penumpang.

Kebanyakan penumpang menyukai pakaian seragam yang dipakai oleh pramugari – rekaan baju mengikut saiz badan dan skirt pendek, dipadankan dengan kasut tumit tinggi kerana menganggapnya sangat cantik dan kelihatan anggun.

Walaupun kelihatan cantik di mata, kadang kala ia memberikan keadaan tidak selesa dalam kalangan para pramugari.

SkyUp Airlines Pramugari Pantsuit

Mahu mengambil pendekatan berbeza, syarikat penerbangan tambang rendah Ukraine, SkyUp Airlines memecah tradisi dengan melakukan transformasi pakaian seragam rasmi pramugarinya kepada gaya yang lebih selesa dan sopan.

Ia selepas tinjaun yang dilakukan pihak SkyUp Airlines yang mana rata-rata krunya meluahkan rasa tidak selesa serta muak dengan gaya kasut tumit tinggi, skirt dan blaus ketat.

Syarikat penerbangan itu memberi pilihan kepada pramugarinya untuk mengenakan pantsuit berona jingga yang merangkumi blazer longgar, baju T putih, seluar panjang beserta kasut sneaker Nike Air demi keselesaan maksimum.

Seorang pramugari senior yang berpengalaman selama tujuh tahun, mengatakan bahawa ada kalanya dia tidak memiliki masa terluang untuk duduk ketika penerbangan untuk merehatkan kakinya yang bengkak setelah menghabiskan masa berjam-jam dengan memakai kasut tumit tinggi.

SkyUp Airlines Pramugari Pantsuit
Sumber: DailyMail

Kata Denysenko, tidak dinafikan bahawa memakai kasut tumit tinggi kelihatan amat cantik tetapi anda terpaksa menahan derita akibat kecederaan kaki.

Tambahnya, jika kru kapal perlu melakukan pendaratan di atas permukaan air atau pemindahan kecemasan, ia amat tidak selesa.

“Imej pramugari sering diromantiskan. Padahal skop kerja mereka menuntut banyak latihan fizikal,” kata ketua jabatan pemasaran SkyUp Airlines, Marianna Grygorash.

Transformasi pakaian seragam bahari itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Oktober ini. Dalam pada itu, syarikat penerbangan terbabit turut melancarkan pakaian seragam baharu untuk kru lelaki.

SkyUp Airlines Pramugari Pantsuit
Sumber: Reuters

“Jika seluruh dunia dan semua fesyenista memakai sneakers, kenapa tidak untuk industri penerbangan?” kata pramugari Zoryana.

Selama beberapa dekad, industri penerbangan mendapat keuntungan daripada penampilan wanita, yang lazimnya perlu menanggung rasa ketidakselesaan dan masalah kesihatan. Mereka juga seringkali dilihat sebagai simbol ‘seksual’ dan ‘playful’.

BACA: Pernah Disenarai Seragam Paling Cantik Di Dunia, Ini Kisah Di Sebalik Kebaya Anggun Malaysia Airlines

Sumber: Reuters