Syarikat China Berkaitan Tentera Dilapor Simpan Data 1,400 Rakyat Malaysia

Syarikat China Simpan Data Rakyat Malaysia

Sebuah syarikat China yang mempunyai hubungan dengan tentera dan rangkaian perisikan di China dilaporkan telah mengumpulkan maklumat profil 1,400 rakyat Malaysia.

Menurut laporan ABC News yang berpangkalan di Australia, jumlah itu adalah antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan data Zhenhua Data, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan secara terperinci apa jenis maklumat 1,400 rakyat Malaysia itu yang dikumpul tetapi mendedahkan bahawa data 35,558 rakyat Australia yang bocor merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.

Selain warga Australia dan rakyat Malaysia, data tersebut juga merangkumi profil 52,000 rakyat Amerika, 10,000 rakyat India, 8,700 rakyat Britain, 5,000 rakyat Kanada, 2,100 rakyat Indonesia dan 138 dari Papua New Guinea.

Laporan itu juga meneliti data melibatkan rakyat Amerika, yang antara lain terdiri daripada profil anggota tentera.

Ia turut mendedahkan bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China dan Parti Komunis China adalah antara pelanggan utama Zhenhua Data, yang dilaporkan mempunyai 20 pusat pengumpulan data di seluruh dunia.

Selain maklumat dari sumber terbuka, beberapa butiran merangkumi data dipercayai dari rekod bank sulit, aplikasi pekerjaan dan profil psikologi.

Data itu dibocorkan kepada ahli akademik AS, Chris Balding, yang pernah bekerja di Universiti Peking, sehingga 2018, sebelum meninggalkan negara itu.

Amerika Tuduh China Curi COVID-19

Balding kemudian menyerahkan pangkalan data 2.4 juta orang itu kepada syarikat keselamatan siber Internet 2.0 yang berpangkalan di Australia, yang berjaya mendapatkan 10 peratus data terbabit.

Balding berkata, data itu membuktikan China melakukan pengawasan secara besar-besaran terhadap rakyat di seluruh dunia.

Menerusi perkara ini, pihak berkuasa negara ini perlu melakukan siasatan sama ada syarikat Zhenhua Data ini turut beroperasi di Malaysia.

Sumber: BH

BACA: Amerika Syarikat Tuduh China Cuba Curi Data Kajian Vaksin COVID-19