
‘Super 30’ Papar Kisah Guru Yang Tinggalkan Kemewahan Demi Mengajar 30 Orang Genius Miskin
Jika anda sudah menonton Raatchasi, pasti anda akan sukakan filem Hindustan ini. Diadaptasi daripada kisah benar, Super 30 merupakan filem lakonan hebat hero Hindustan kegilaan ramai iaitu Hrithik Roshan.
Secara umumnya, filem ini berkisahkan mengenai Anand Kumar, seorang yang sangat menyukai matematik dan genius. Cinta beliau kepada Matematik menyebabkan beliau sentiasa mengambil tahu mengenai jurnal-jurnal Matematik luar negara yang baru dibeli oleh perpustakaan.
Salah satu jurnal beliau berjaya diterbitkan dan Anand ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard. Namun kerana kemiskinan keluarganya, beliau terpaksa membatalkan hasratnya dan meneruskan hidup sebagai penjual papadom selepas kematian ayahnya.
Berjumpa dengan senior genius Matematiknya yang dahulu, Anand Kumar ditawarkan untuk mengajar di sebuah pusat tuisyen yang penuntutnya terdiri daripada anak-anak orang kaya dan elit. Dari saat itu hidupnya berubah serta merta
Sehinggalah ada peristiwa yang berlaku yang menyebabkan Anand mengambil keputusan untuk berhenti mengajar dan membuka pusat pengajiannya sendiri. Menawarkan pengajian termasuklah makanan dan penginapan secara percuma, Anand menetapkan beliau hanya akan menerima 30 orang pelajar miskin sahaja untuk setiap sesi.
Dari situ, bermulalah konflik dan kesukaran yang dihadapi Anand dalam meneruskan kehidupan sebagai guru yang menawarkan pendidikan percuma kepada 30 orang pelajar genius daif ini bagi melayakkan mereka memasuki IIT (Institusi Teknologi India) yang mana dalam 12 juta orang pelajar hanya 9,600 orang sahaja akan dipilij.
Jika anda rasa Raatchasi sudah cukup baik, menonton Super 30 ini memberikan kepuasan yang berbeza. Cukup rasa, cukup rempah, cukup besar mesej yang disampaikan dalam tempoh masa sekitar 2 jam 30 minit ini.
Filem Super 30 ini merupakan kisah benar yang digarap semula daripada kisah sebenar Anand Kumar. Antara pencapaian yang Anand terima sepanjang menjalankan operasi sekolah Super 30 ini ialah:
1. Sekolah Terbaik Asia pada tahun 2010 oleh Majalah Time
2. Diiktiraf sebagai Sekolah Terbaik India oleh Presiden Obama
3. Dijulang antara 4 Sekolah Paling Inovatif oleh World by Newsweek
Jika anda belum tonton filem ini, kami sarankan anda untuk menonton dengan secepat mungkin. Kerana dengan lakonan mantap Hithrik Roshan, tanpa sedar anda akan turut dibawa ke dalam dunia Super 30 nya.
Sebelum itu, tonton dahulu trailer filem Super 30 di pautan bawah:
https://www.youtube.com/watch?v=QpvEWVVnICE
RATING: 9.5/10
Jom saksikan Rambo: Last Blood di pawagam berdekatan sekarang!
https://www.instagram.com/p/B2WJ9y4FHd6/