
Suntikan Semula Akan Diberikan Kepada Penerima Suntikan Picagari Kosong
Menurut petikan sumber daripada Berita Harian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan bahawa mana-mana individu yang terbukti diberikan suntikan vaksin ‘picagari kosong’ akan menerima suntikan dos baharu.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, akan memanggil individu berkenaan untuk menerima suntikan semula.
Beberapa hari lalu, tular kejadian suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di laman media sosial kerana didakwa membabitkan picagari kosong.
Antara kes dilaporkan termasuk kejadian pada Sabtu lalu di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, di mana PPV itu dikhaskan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka sahaja.
Vaksinasi di PPV itu dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.
Terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan picagari kosong iaitu PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), yang didakwa berlaku pada Sabtu lalu, menyebabkan orang awam terbabit sudah membuat laporan polis.
Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu ini dibuat pada Ahad dan laporan polis dibuat penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengambil berat dakwaan yang dikeluarkan dan akan bekerjasama dengan pihak berwajib bagi menghalang perkara yang sama berulang.
BACA: Netizen Kongsi Tip Untuk Cepat Dapat Tarikh Temu Janji Vaksin Di MySejahtera, Ini Respon KKM
Sumber: Berita Harian