
Sungai Furat Telah Mula Surut Dan Mengering, Tanda-Tanda Kiamat Kini Semakin Jelas?
Dipetik dari sebuah artikel yang ditulis oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan di mStar, telah didedahkan mengenai keadaan Sungai Furat atau Sungai Euphrates iaitu sungai yang terpanjang di Asia Barat yang kini semakin surut dan mengering.
Menurut Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan atau dikenali juga dengan gelaran Hadi Almaghribi, keadaan air sungai yang kering ini adalah membimbangkan dan ianya turut dikira sebagai salah satu tanda hampir kiamat.
Beliau yang berjaya menggenggam PhD pada usia 27 tahun turut menjelaskan bahawa jika diikutkan, tanda-tanda kecil hari kiamat sudah pun cukup banyak seperti kewafatan Baginda Rasulullah, ilmu agama diangkat, akan banyaknya terjadi bencana dan kekacauan serta banyaknya pembunuhan.
Ikuti antara kandungan artikel mengenai Sungai Furat yang ditulis oleh beliau yang juga merupakan seorang penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah di portal mStar berikut:
Sungai Furat merupakan sungai terpanjang di Asia Barat. Mengairi tiga buah negara iaitu Turki, Syria dan Iraq. Ia berpunca dari hiliran timur Turki, kemudian merentasi Syria, memasuki Iraq dan bertemu ulu sungai Tigris sebelum berakhir di muara Shatt Arab, pesisir Teluk Parsi.
Sungai Furat bersama Sungai Tigris menjadi sumber air dan juga laluan penting. Sehingga hari ini Furat masih membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.
Laporan berita mengenai air Sungai Furat yang menyusut sehingga menampakkan dasarnya akibat kemarau turut menarik perhatian terutamanya dalam kalangan umat Islam kerana ia adalah salah satu tanda kiamat.
Di dalam hadis yang disebutkan Baginda Rasulullah mengenai gunung daripada emas kata para alim ulama air Sungai Furat akan menjadi sangat mahal hingga nilainya menyamai harga emas.
Ada juga mengatakan bahawa kemungkinan di suatu saat nanti di Sungai Furat akan ditemukan telaga minyak atau lombong emas.
Tapi satu yang pasti ialah penyebutan Sungai Furat oleh Baginda Rasulullah ini sebenarnya menunjukkan bahaya yang terkandung iaitu ramai orang berperang untuk merebutkannya. Ini kerana kata ulama bahawa manusia akan datang dari pelbagai pelusuk untuk berlumba-lumba memiliki kekayaan itu.
Sabda Baginda Rasulullah: Tidak terjadi hari kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata ‘mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu’. – [HR Muslim 5152].
Dalam riwayat lain pula disebutkan: Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barang siapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu. – [HR Bukhari 6586 Muslim 5153].
Maka persoalan yang paling penting ialah apakah persedian kita bagi menghadapi hari kiamat ini? Ini kerana ramai dalam kalangan kita hari ini yang sibuk dengan tanda-tanda hari kiamat tetapi mereka lupa perkara yang paling penting adalah persediaannya.
Kerana itu dalam hadis tadi sangat jelas Baginda memesan supaya tinggalkan harta itu dan seharusnya kita perlu tumpukan pada amal ibadah yang mana pada waktu itu hari kiamat sudah sangat hampir.
BACA: Adakah Kebakaran Hutan Seluruh Dunia Petanda Kiamat Seperti Yang Tercatat Dalam Surah Ad-Dhukan?
Sumber: mStar, TikTok @rise.dila