
Sultan Perak Pernah Bernazar Enggan Cukur Jambang Selagi Menteri Besar Tidak Letak Jawatan
Krisis yang melanda negeri Perak akhirnya berakhir apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar pada 5 Disember lalu.
Bukan merupakan kali pertama berlaku, Perak pernah beberapa kali berhadapan dengan krisis perletakan jawatan oleh Menteri Besar.
Antara yang paling banyak disebut ialah mengenai Sultan Perak bernazar tidak mahu mencukur jambang selagi Menteri Besar Perak pada ketika itu, Tan Sri Ghazali Jawi tidak meletakkan jawatannya.
Menjadi Menteri Besar buat kali pertama pada 1957, beliau memegang jawatan atas lantikan Tunku Abdul Rahman selepas Tunku mengalami krisi dengan Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab.
BACA: Sukarno Tertawa Selepas Terdengar Carutan 4 Huruf Daripada Tunku Abdul Rahman
Baru tiga tahun memegang jawatan, Ghazali dikatakan pernah ditangkap atas kesalahan rasuah pada 1960 namun kes tersebut tergantung. Ini menyebabkan Sultan Idris Shah selaku Raja Di Hilir tidak berkenan kepadanya.
Pada April 1960, Ghazali menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Sultan Perak di Istana Perak, Kuala Lumpur dan beliau dihantar ke Mesir sebagai Duta Malaysia yang ke-11 di sana.
Pada September 1974, beliau dilantik semula sebagai Menteri Besar Perak oleh baginda Sultan dengan nasihat Tan Sri Ishak Tadin dan majlis angkat sumpah diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan.
Pada tahun 1976, Sultan mahu Ghazali menunaikan janjinya meletak jawatan selepas dua tahun ditunaikan. Namun Ghazali terus memegang jawatan berkenaan hingga 1977.
Disebabkan itu baginda Sultan enggan menandatangani sebarang keputusan mesyuarat Exco Perak sehingga menyebabkan rancangan pembangunan tanah di Perak tergendala.
Pemuda UMNO kemudiannya mengadakan rapat umum mempertahankan tindakan Ghazali Jawi kerana kata mereka hak untuk memecat dan memerintahkan Ghazali berhenti daripada menjadi Menteri Besar Perak adalah Presiden UMNO memandangkan beliau merupakan seorang Ahli UMNO.
Sultan Idris yang masih murka telah bernazar tidak akan mencukur janggut dan jambangnya selagi Ghazali tidak meletakkan jawatannya.
“Sultan mengambil tindakan bernazar dengan menyimpan janggut, misai dan jambang, iaitu selagi Haji Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Besar, Baginda tidak bercukur.”
Dalam tempoh tersebut, beberapa kali baginda tampil di khalayak dengan keadaan berjanggut dan berjambang sebagai tanda kemurkaan baginda.
Akhirnya selepas dinasihati Presiden UMNO pada ketika itu, Tun Hussein Onn, Ghazali meletakkan jawatannya pada 1977 dan surat perletakan jawatannya telah dihantar ke baginda Sultan.
Dengan perkenan Sultan, tempat beliau digantikan oleh Dato’ Sri Mohamed bin Wan Teh.
Sumber:
Trending now



