
Sulaiman Al Rajhi, Pemilik Bank Al-Rajhi Bergelar Jutawan Tanpa Harta
Pada tahun 2011, Forbes mengumumkan kekayaan yang dimiliki ahli perniagaan yang juga pemilik kepada rangkaian bank al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, Sheikh Sulaiman Abdulaziz Al Rajhi adalah sebanyak $7.7 bilion menjadikan beliau tersenarai sebagai individu ke-169 terkaya di dunia.
Namun, beliau yang lebih dikenali dengan nama Sulaiman Al Rajhi kini digelar jutawan tanpa wang sejak 2012 selepas menyerahkan segala harta yang dimiliki kepada anak-anaknya dan juga projek-projek wakaf. Pada tahun 2012 juga beliau menerima anugerah King Faisal International Prize atas sumbangan separuh daripada kekayaannya untuk bantuan kerja kebajikan.

Pernah jatuh sebanyak dua kali, Sulaiman memilih untuk menjadi ‘miskin’ pada kali ke-3 demi ketenangan dirinya. Beliau menyerahkan harta kepada anak-anaknya bagi mengelakkan berlakunya perebutan kuasa dan harta yang mana baginya hanya akan merugikan semua pihak; syarikat, masyarakat dan negara.
Sedar pada zamannya tiada bank Islam, beliau berusaha menubuhkan Al Rajhi Bank dengan bantuan dan sokongan daripada mufti besar, Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan abangnya, Sheikh Saleh Abdul Aziz Al Rajhi.
Sulaiman juga membina universiti bukan untuk mengaut keuntungan (non-profit university), Sulaiman Al Rajhi University di kawasan perkampungannya dengan fokus pengajian kepada bidang kesihatan dan perbankan Islam.

Tidak datang daripada keluarga yang berada dan bukan berketurunan raja, Sulaiman merasakan dirinya hanya penjaga bagi keseluruhan harta kekayaan yang dimiliki Allah SWT.
“Bagaimana anda boleh memuaskan nafsu lapar anda sedangkan jiran anda menghabiskan malam mereka dalam keadaan kelaparan?”