MBO Cinemas Tutup Buat Selamanya

Sukar Bertahan Akibat Pandemik COVID-19, MBO Cinemas Dijangka Tutup Operasi Buat Selamanya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

MBO Cinemas Dijangka Tutup Operasi Buat Selamanya

Pandemik COVID-19 menyaksikan pelbagai syarikat daripada pelbagai sektor terpaksa menutup operasi mereka susulan daripada tidak mampu menjana pendapatan dan mencatatkan kerugian.

Turut terkesan dilaporkan, rangkaian pawagam ketiga terbesar di Malaysia, MBO Cinemas berdepan pelupusan secara sukarela susulan isu aliran tunai akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac, menurut The Edge.

“Kami memaklumkan anda pada 14 Okt 2020, lembaga pengarah MCAT Box Office Sdn Bhd meluluskan resolusi untuk meletakkan syarikat berkenaan bawah pelan pelupusan secara sukarela pemiutang dan melantik Lim San Pean daripada Pricewaterhouse Coopers Advisory Services Sdn Bhd sebagai pelikuidasi sementara,” akhbar kewangan itu melaporkan.

Pawagam Operasi Semula Bulan Depan
Sumber: The Jakarta Post

Notis itu juga meminta diadakan mesyuarat antara pemiutang dan pelikuidasi sementara untuk membincangkan proses pelupusan.

Pelupusan bererti aset sesebuah syarikat dijual untuk membayar balik pemiutang sebelum ditutup.

Menurut The Edge, setakat 31 Disember 2018, jumlah aset MBO Cinemas bernilai RM197.76 juta manakala liabilitinya berjumlah RM111.31 juta.

Sebelum ini, MBO Cinemas mengeluarkan pengumuman di media sosial Facebook mereka bahawa 17 dari 27 lokasinya di seluruh negara akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

https://www.facebook.com/mbocinemas/posts/10157819196383790

Selain itu, pihak MBO juga telah menutup enam pawagam lain yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, dan juga Sabah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Memetik laporan Bernama pada 7 Ogos yang lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MBO Cinemas Cheah Chun Wai, mendedahkan bahawa MBO telah mengalami penyusutan jualan sebanyak 55% selama tiga bulan pertama pandemik Covid-19 dan tiada penjualan sama sekali pada tiga bulan berikutnya kerana perlaksanaan PKP.

Bagaimanapun, belum ada lagi pengumuman rasmi dari MBO Cinemas.

Pawagam pertama perkenal panggung khas untuk kanak-kanak

MBO Cinemas Tutup Buat Selamanya

Walaupun perlu bersaing dengan rangkaian pawagam lain di Malaysia, MBO Cinemas merupakan pawagam pertama yang memperkenalkan panggung khas untuk ibu bapa membawa anak-anak kecil untuk menonton wayang tanpa berasa bimbang anak membuat bising.

Selain itu, mereka juga yang pertama membawa teknologi MX4D iaitu kerusi motion di mana penonton akan merasai pengalaman sinematik yang lagi mendalam ketika menonton filem.

Bukan itu sahaja, MBO Cinemas juga melakukan pengubahsuaian terhadap cawangan sedia ada dengan menaik taraf kemudahan seperti mesra OKU dan juga pengenalan kafe mereka sendiri iaitu Cafecito.

Sumber: FMT, Cinema