
‘Suka Sama Suka’ Dengan Budak Sekolah, 3 Lelaki Didakwa Rogol Dan Liwat
Tiga lelaki yang meliputi dua pelajar sekolah dan seorang kelindan lori berumur antara 17 hingga 19 tahun ditahan polis kerana disyaki merogol serta meliwat kekasih masing-masing yang merupakan tiga pelajar sekolah perempuan dalam kejadian berasingan di Kelantan.
Memetik sumber dari Berita Harian, dua daripada kejadian berkenaan yang membabitkan dua pasangan berbeza, didakwa berlaku dalam kawasan sebuah sekolah menengah yang sama.
Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan juga didapati semua insiden itu dipercayai dilakukan secara ‘suka sama suka’ atau sukarela bersama pasangan kekasih masing-masing.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek itu dilakukan susulan pihaknya menerima laporan minggu lalu.
Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan awal mendapati semua suspek berkenaan negatif dadah serta tiada rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 8 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan dan juga Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 20 tahun serta hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Pelbagai usaha dan inisiatif dijalankan polis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, antaranya mengadakan kempen kesedaran jenayah serta ceramah pada peringkat sekolah.
“Pihak polis juga ingin menasihati masyarakat, khususnya ibu bapa supaya memantau kegiatan anak masing-masing bagi mengawal dan mengawasi tingkah laku mereka. Selain itu, pihak sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan dalam membantu menangani jenayah,” ujar Mohd Rosdi.
BACA: Guru Agama Perkosa 13 Pelajar Hingga Hamil Dihukum Mati, Berikut 7 Fakta Berkaitan
Sumber: Berita Harian