Demokrasi

“Suka Ataupun Tidak, Beginilah Demokrasi Berfungsi”

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia yang sanggup menempuh kesesakan trafik dan beratur panjang dalam ribut dan hujan demi menjalankan tanggungjawab bagi menentukan nasib negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari.

Seperti yang dijangka, kali ini nampaknya persaingan untuk membentuk kerajaan memang benar-benar sengit dan sukar walaupun rakyat telah berusaha sehabis baik dalam proses membuat pemilihan bagi menyerahkan mandat mereka.

Namun diingatkan, rakyat sebenarnya tidak perlu pun untuk gaduh-gaduh atau marah-marah sekiranya pilihan mereka itu kalah atau yang tidak layak diundi akhirnya menjadi pemenang kerana inilah yang dikatakan sebagai salah satu sisi dalam amalan demokrasi.

Ahli fizik popular, Zamir Mohyedin ada membuat hantaran berikut di Facebooknya untuk sama-sama membawa orang ramai menyedari hakikat ini serta bagi menjelaskan pengertian sebenar bagaimana amalan demokrasi yang tidak sempurna ini berfungsi.

Demokrasi

Kalau parti atau calon parlimen kegemaran kita kalah, kita kata demokrasi dah mati, pengundi bodoh, benak dan sebagainya. Kalau parti atau calon parlimen kegemaran kita menang, kita kata demokrasi subur, rakyat Malaysia mula sedar dan sebagainya.

Suka ataupun tidak, beginilah demokrasi berfungsi. Semua orang ada hak memilih mana-mana individu yang dia mahukan sama ada pemenang itu kita rasa tidak logik untuk menang. Walaupun demokrasi memberikan kuasa kepada rakyat, kontra-nya ialah sesiapa saja berhak memilik.

Orang yang celik dengan politik dan isu semasa boleh memilih, orang tidak celik pun boleh memilih. Semua orang boleh terlibat dan mengundi.

Sebab itulah Socrates tidak suka dengan amalan demokrasi sebegini kerana syarat pengundinya terlalu rendah. Di Athens dulu, syarat pengundi cukup ada warganegara Athens dan seorang lelaki dewasa. Pandai ataupun tidak, celik ataupun tidak, tabur jelah undi. Akhirnya, intelektual seperti Socrates mati ditelan racun kerana demokrasi yang tidak terdidik. Orang Athens bersetuju Socrates patut mati kerana sebarkan dakyahnya. Jadilah, tirani majoriti (tyranny of majority).

Socrates menyarankan demokrasi yang bagus datang daripada pengundi yang terdidik dan celik. Pengundi ini akan mengangkat penguasa yang berwibawa. Dia ibaratkan, kalau nak mengemudi kapal, takkan nak suruh orang yang tak tahu apa-apa pasal pelayaran untuk kemudi.

Saya secara peribadi, terima saja dengan keputusan pilihanraya umum ini. Tak adalah nak marah-marah sampai kata pengundi bodoh bila parti kegemaran kalah, kemudian kata rakyat mula sedar bila parti kegemaran menang.

Cuma kita kena sedarlah demokrasi ini macam mana. Ia bukan alat ataupun model yang bagi parti ataupun ideologi kegemaran kita menang. Ia adalah alat yang bagi rakyat memilih penguasa. Rakyatnya pula bukan semua sama. Masing-masing ada pendirian dan ideologi sendiri. Bukan kita saja yang betul dan suci. Kalau kita sayang demokrasi, inilah sisi lain demokrasi.

BACA: PRU15: Ramai Gaduh Sampai Tak Tegur Sapa, Kena ‘Block’, ‘Unfriend’ & ‘Left Group’?

Sumber: Zamir Mohyedin